KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan aspek keselamatan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung minggu depan, terkawal. Tanpa mendedahkan jumlah anggota yang bertugas sepanjang perhimpunan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membuat persediaan awal bagi memastikan kelancaran perhimpunan itu. "Anggota PDRM yang ditugaskan ketika perhimpunan itu akan bertugas mengikut syif. Selain itu, PDRM juga akan membuka bilik gerakan polis di PWTC," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai aspek keselamatan sepanjang perhimpunan itu. Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain berkata pihaknya akan menugaskan kira-kira 30 anggota untuk mengawal trafik di sekitar PWTC sepanjang perhimpunan. "Mereka (anggota polis trafik) akan bertugas secara bergilir-gilir dan mempunyai dua syif sepanjang perhimpunan berlangsung," katanya. Mohd Nadzri juga menasihati orang awam agar tidak meletakkan kereta di atas pembahagi jalan atau di tepi jalan di sekitar PWTC. "Jika berbuat sedemikian maka kenderaan mereka akan ditarik, oleh itu letaklah kenderaan di tempat yang dikhususkan," katanya sambil menambah tiada penutupan jalan ke PWTC ketika perhimpunan itu berlangsung. Perhimpunan yang berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember ini di PWTC akan dihadiri 5,732 anggota perwakilan. - BERNAMA