KANGAR: Kerajaan disaran mendirikan kem-kem khas untuk pelarian Rohingya di negeri-negeri di kawasan sempadan untuk mengelak mereka memasuki kawasan bandar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang membuat saranan itu berkata kebanjiran rakyat asing khususnya pelarian di bandar hanya menimbulkan lebih banyak masalah sosial. "Kita tidak mengundang mereka (pelarian) tetapi menerima atas dasar perikemanusiaan dan memberi perlindungan sewajarnya serta makanan dan pakaian walaupun Malaysia tidak menandatangani perjanjian hak orang pelarian," katanya. Shahidan ditemui pada program 'MPK Di Hati Rakyat' yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, Sabtu. Katanya pemantauan berterusan di darat dan laut dibuat untuk mengesan pihak-pihak tertentu yang menghalau pelarian Rohingya memasuki Malaysia kerana negara bersikap baik terhadap 'orang hanyut' selain tidak pernah berlaku kejam terhadap mereka. Beliau yang kemudiannya merasmikan Konvensyen Ekonomi UMNO Perlis bertemakan 'Perlis Negeri Usahawan' di Arau berkata konvensyen tersebut turut mengambil ketetapan mengutuk perbuatan kejam yang tidak berperikemanusiaan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya itu. "Perbuatan terkutuk yang di luar batas kemanusiaan itu tidak harus berlaku dan kita akan terus mendesak kerajaan memanggil Duta Besar Myanmar memberi penjelasan walaupun mereka juga anggota ASEAN. "UMNO Perlis juga mahu hadiah Nobel Keamanan kepada Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi ditarik balik oleh pihak yang menganugerahkannya," kata Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis. Beliau menzahirkan sokongan usaha badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyerah nota bantahan kepada Duta Besar Myanmar selain meminta pihak-pihak yang tidak berpuas hati terus membuat demonstrasi sebagai tanda bantahan. - BERNAMA