PETALING JAYA: "Macam nak kiamat." Demikian gambaran seorang daripada mangsa kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah yang berlaku awal pagi Sabtu. Muhammad Zamir Othman, 31, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dan keluarganya sudah bersedia untuk tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat seperti guruh memecah keheningan malam. "Masa tu saya dah nak tidur, tiba-tiba saya dengar bunyi macam guruh, bunyi kayu-kayu patah. "Apabila saya intai ke luar, saya nampak tanah sedang menggelongsor," katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu. Muhammad Zamir Muhammad Zamir berkata dalam keadaan terkejut dan panik, dia terus keluar dari rumah untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku. "Dengan 'berkaki ayam' saya keluar dari rumah dan nampak sebuah motosikal sudah tertimbus dalam tanah. "Saya panik tak tahu nak tolong selamatkan yang mana satu, sebab pada masa sama pintu rumah jiran saya tak boleh buka, jadi saya selamatkan anak dia dulu," katanya sambil menambah jirannya itu mempunyai dua orang anak. Menurutnya, apa yang terlintas di fikirannya pada masa itu adalah 'kiamat', tetapi tidak lama kemudian berasa lega apabila mendapati bunyi tersebut merupakan kejadian tanah runtuh. Dia turut bersyukur kerana isteri dan anak perempuannya berusia tiga tahun sempat melarikan diri ke rumah ibunya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. "Selepas pastikan keluarga saya selamat, saya keluar untuk tolong jiran pula, ketika itulah nampak ada seorang penunggang motosikal terjatuh ke dalam runtuhan," katanya. Deretan kedai dan kenderaan yang musnah akibat tanah runtuh di Taman Idaman Serendah pada pagi 26 November 2016. Runtuhan tersebut berlaku kira-kira dua meter dari rumahnya dan kejadian tersebut menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Taman Desa Melo, Desa Anggerik, perkampungan orang asli terputus serta terpaksa dilencongkan ke laluan lain. Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi Sabtu, penunggang motosikal cedera dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Selayang. Runtuhan tersebut menyebabkan beberapa buah gerai makan munsah manakala kira-kira lapan buah kenderaan terjerumus ke dalam runtuhan. Seramai 53 anggota penyelamat termasuk pasukan bomba dari Kuala Kubu Bharu, Bukit Jelutong dan Rawang, Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut. Anggota penyelamat turut menggunakan unit anjing pengesan untuk memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam kejadian itu. Berdasarkan tinjauan mStar Online, polis telah menutup sekitar kawasan runtuhan dan mengarahkan penduduk taman itu untuk berpindah ke lokasi selamat untuk pemeriksaan lanjut ekoran kebimbangan berlakunya runtuhan susulan. Difahamkan, lokasi tersebut merupakan bekas kawasan perlombongan dan terdapat aliran air di bawah tanah yang dipercayai menjadi punca runtuhan.