suria

Pemerdagangan Bayi: JPN Pandang Serius Laporan Pegawai Terbabit

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memandang serius laporan Al Jazeera pada Jumaat lalu yang mengaitkan pegawai JPN dengan sindiket penjualan bayi di negara ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli berkata, JPN tidak akan berkompromi sekiranya betul pegawai JPN terbabit dalam perkara itu.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan tersebut didapati benar," kata Mohd Yazid dalam satu kenyataan.

Laporan di bawah tajuk 'Malaysian Babies For Sales' itu turut menyebut soal pemalsuan dokumen kelahiran bayi dengan dibantu pegawai yang berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau juga berkata JPN mendaftar setiap kelahiran kanak-kanak tanpa  prejudis dan tanpa mengira status kanak-kanak tersebut. 

"Sekiranya syarat permohonan dipenuhi dan dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah teratur dan lengkap, permohonan itu boleh diterima dan diproses untuk pengeluaran sijil kelahiran," kata Mohd Yazid.

Beliau menambah setiap pendaftaran kelahiran yang dilaksanakan di kaunter pendaftaran akan disemak oleh pegawai penyelia, dengan merangkumi dokumen asal dan salinannya, borang serta maklumat yang telah direkodkan di dalam sistem. 

"Sekiranya semakan tersebut mendapati ianya lengkap, teratur dan sempurna, barulah sijil kelahiran akan dikeluarkan oleh penyelia. Jika permohonan tidak lengkap atau tidak memenuhi prosedur, permohonan pendaftaran kelahiran akan ditangguh sehingga pemohon dapat melengkapkan dokumen serta maklumat yang diperlukan.

"Jika terdapat keraguan, permohonan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan dan  Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut," jelasnya. -- Bernama

JPN, Mohd Yazid Ramli, bayi, Al Jazeera

Artikel Berikut

Zunar Direman Sehari

Artikel Lain