suria

Perhilitan Siasat Dakwaan Harimau Berkeliaran Di Sungai Karang

GAMBAR HIASAN

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang masih menyiasat dakwaan kewujudan harimau di sekitar Sungai Karang di sini, yang tersebar di laman sosial Facebook.

Timbalan Pengarahnya Mohd Zaide Mohamed Zin berkata pihaknya ada menerima aduan mendakwa kehadiran harimau pada minggu lalu, namun sehingga kini tiada bukti yang dapat mengesahkan perkara itu.

Aduan itu diterima daripada seorang pemilik kandang lembu di situ, yang mendakwa seekor lembunya mati manakala seekor lagi lembu cedera dipercayai akibat serangan harimau, tambahnya.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan kerana pegawai kami gagal memasuki kandang itu yang terkunci walaupun telah beberapa kali ke situ untuk bertemu pemiliknya.

"Setakat ini, kami berharap orang ramai akan berhati-hati dan segera menghubungi jabatan jika mempunyai maklumat lanjut," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Pada Ahad, seorang individu memuat naik dakwaan terdapat tiga ekor harimau di sekitar Sungai Karang ke akaun Facebook Warga Kuantan dan meminta orang ramai untuk mengawasi anak-anak mereka serta mengurangkan masa di luar rumah.

Dakwaan itu juga menyatakan seekor daripada harimau itu telah ditangkap dan kemungkinan harimau berkenaan akan mengamuk selain terdapat empat ekor lembu mati dibaham.

Berhubung gambar tapak kaki yang dimuat naik ke dalam akaun itu, Mohd Zaide berkata tapak kaki itu adalah tapak kaki anjing dan gambar yang menunjukkan gambar harimau dirantai juga bukan harimau yang ditangkap.

"Secara lojiknya harimau tidak sejinak itu untuk hanya dirantai. Jika itu adalah harimau yang baharu ditangkap, sudah pasti rantai yang digunakan boleh putus jika dirantai begitu sahaja," katanya. - BERNAMA

Perhilitan, Harimau

Artikel Sebelum

Maria Chin Dibebaskan

Artikel Berikut

Artikel Lain