ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 3.2 kilogram dadah yang disyaki heroin bernilai RM75,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru Thye Seng, Kuala Ketil malam Ahad. Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di rumah dan kenderaan lori jenis Isuzu berwarna putih itu membawa kepada penemuan dua bungkusan yang dipercayai heroin di tempat duduk belakang kenderaan itu pada kira-kira 12.15 tengah malam. Suspek berusia 30 tahun itu sendiri yang membawa polis ke kenderaan tersebut dan menyaksikan pemeriksaan yang dilakukan. Dadah tersebut dibungkus dengan beg plastik berwarna hitam yang mengandungi surat khabar dengan di dalamnya terdapat bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan berwarna putih yang disyaki heroin, katanya dalam satu sidang akhbar di sini, Isnin. Asri berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori kilang itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini direman seminggu bagi membantu siasatan. Kami percaya, suspek masih baru dalam kegiatan ini memandangkan tiada rekod lampau malah dia dalam keadaan terkejut ketika polis membuat serbuan di rumahnya. Saringan awal ujian air kencing juga didapati negatif. Asri berkata siasatan awal juga mendapati suspek mendapat bekalan dari Pulau Pinang untuk edaran di kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, katanya. Nilai rampasan tersebut adalah kedua terbesar di negeri ini bagi tahun 2016 selepas rampasan di Langkawi yang dilakukan awal tahun ini. - BERNAMA