suria

Empat Maut Nahas Di NKVE

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Empat maut, seorang cedera parah manakala seorang terselamat dalam kemalangan di Km 16.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat susur masuk ke Tol Damansara awal Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, kesemua mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Innova yang dalam perjalanan menuju ke arah utara bertembung dengan lori 10 tan yang terbabas dari arah bertentangan.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian  namun pemandu lori tidak dapat dikesan, katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata siasatan awal mendapati pemandu lori itu hilang kawalan apabila cuba mengelak kenderaan di hadapannya yang mengalami tayar pancit sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar besi penghadang jalan serta kenderaan mangsa.

Mereka yang maut dikenali sebagai Kun Ell Yin, 32; Kum Hok Wan, 36; Hong Ching Guan, 49, dan pemandu lelaki berusia 52 tahun yang belum dikenal pasti identiti.

Mangsa yang cedera parah ialah Ho Lai Lai, 41 manakala identiti  penumpang yang terselamat belum diperoleh.

Mangsa yang maut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Bomba menerima panggilan pada 1.58 pagi dan mengerahkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara ke lokasi kejadian, kata Mohd Sani.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Kemalangan, NKVE, Tol Damansara

Artikel Lain