KUALA LUMPUR: Selepas pulang dari menangkap ikan, Saari Mohd Nor dan rakannya, Low Kok Seong akan bersarapan bersama dan membaca surat khabar di kampung mereka di Bagan, Pasir Penambang. Mereka suka membaca kisah-kisah yang mempamerkan tentang keberanian orang awam dan golongan wanita dalam mempertaruhkan nyawa demi membantu rakyat. Namun, dua sahabat ini sama sekali tidak pernah terlintas bahawa kisah keberanian mereka akan terpampang di dada akhbar, seperti yang berlaku hari ini, apabila mereka terpilih untuk menerima Anugerah Golden Hearts Star 2016. Pada 26 Februari, pasangan itu yang telah memancing bersama sejak lima tahun lalu telah turun menangkap ikan seperti biasa di laut Selat Melaka pada pukul 5 pagi. Rutin itu bagaimanapun berakhir dengan nyawa lapan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menaiki pesawat CN235 dan membuat pendaratan di pantai paya Pasir Penambang, Kuala Selangor, diselamatkan oleh mereka. Pegawai yang terlibat adalah sebahagian daripada pasukan yang sedang melakukan latihan lintas hormat di Kuala Selangor apabila pesawat mereka mengalami kegagalan enjin 10 minit selepas penerbangan. Tidak lama selepas melakukan pendaratan kecemasan, pesawat itu terbakar dan tenggelam perlahan-lahan. Empat pegawai, termasuk juruterbang, mengalami kecederaan dan bergelut untuk keluar menyelamatkan diri. Saari, 51, dan Kok Seong, 40, yang berada 200 meter dari lokasi kemalangan, terus membawa bot mereka ke arah kepulan asap hitam untuk menarik keluar lapan mangsa. Selama beberapa bulan, pasangan ini telah diangkat sebagai 'selebriti' di perkampungan nelayan itu dan mereka akan diperkenalkan oleh rakan-rakan lain sebagai wira. Kejadian itu masih segar dalam ingatan Kok Seong. "Selama tiga hari saya terus berfikir bagaimana jika pesawat itu meletup? Saya mungkin akan mati," katanya. Pastinya, beliau juga seakan tidak percaya dengan apa yang telah dilakukan. Beliau menyifatkannya sebagai tindak balas semula jadi apabila mereka berdua cuba mendekati pesawat terbakar itu. "Kami tidak boleh pergi dekat dengan bot besar kami dan dengan kepulan asap yang teruk. Saya, dalam masa yang sama nampak seseorang di belakang pesawat dan berfikir bagaimana saya dapat selamatkan mereka," kata Saari. Perkara pertama yang dilakukan adalah menghubungi 999 dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang lokasi nahas. Mereka kemudian meminta bantuan nelayan lain untuk meminjamkan sebuah sampan kecil, supaya mereka dapat pergi lebih dekat dengan bangkai kapal. Saari menarik keluar lapan pegawai dari air dan memindahkan mereka ke perahu kecil yang dikemudi oleh Kok Seong. Mereka membawa mangsa ke balai polis berhampiran jeti. "Kami takut pada mulanya, tetapi ketakutan kami hilang kerana melihat nyawa orang lain dalam risiko. "Kami hanya mahu menyelamatkan mereka selepas melihat kemalangan pesawat," imbas Saari. Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad telah melawat rumah mereka untuk mengucapkan terima kasih. Krew pesawat terhempas juga telah berkunjung ke rumah terbuka Hari Raya Saari pada Julai lalu. Pegawai TUDM yang berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Mejar Mohd Azri Yacob, 41, pembantu juruterbang Mejar Ahmad Syazwan Mohammed, 32, Mejar Muhamed Afizan Jaafar, 32, Kapten Nurul Azrie Rofdi, 32, Lt Meor Ahmad Ali Meor Abdul Wahab, 26, Pegawai Waren 2 Muhd Sayfull Neezam Abdul Manan, 35, Sarjan David Tonge, 35, dan Sarjan Suhaila Pathil, 33. "Sudah tentu, kami amat gembira apabila apa yang kami lakukan masih diingati," kata Kok Seong. "Tetapi apa yang kami lakukan adalah sesuatu yang mungkin rakyat Malaysia akan dilakukan dalam keadaan itu." Insiden pada Februari juga telah meragut nyawa nelayan, Abu Hassan Abu Latiff, yang mati lemas selepas kakinya terperangkap dalam lumpur di lokasi berhampiran. Anugerah Hearts Golden Star tahun ini disokong oleh Gamuda.