suria

Polis Bongkar Makmal Dadah Di Ipoh

SEBAHAGIAN peralatan memproses dadah yang dirampas dipamerkan pada sidang media ekoran kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Bukit Aman bersama JSJK Perak membongkar dua buah makmal memproses dadah di sekitar Ipoh serta merampas sejumlah dadah jenis syabu dan ganja serta peralatan memproses dadah pada 28 November. - BERNAMA

IPOH: Polis berjaya membongkar dua makmal memproses dadah disyaki syabu dan ganja bernilai kira-kira RM1.2 juta menerusi tangkapan 11 individu termasuk lima warga asing hasil serbuan di sekitar bandar raya Ipoh di sini, Isnin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Datuk Kang Chez Chiang berkata operasi yang bermula pukul 6 pagi hingga 2 petang itu dijalankan oleh JSJN Perak serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di beberapa kawasan perumahan dan kilang.

"Daripada kesemua suspek yang ditahan, seorang daripadanya adalah wanita warga Indonesia, tiga lelaki warga Sri Lanka dan seorang lelaki warga Greece.

"Polis turut menahan seorang anggota kumpulan itu yang merupakan 'mastermind' di sebalik sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah," katanya  dalam satu sidang media di sini Isnin.

Kang berkata hasil serbuan itu, polis membongkar kewujudan sebuah rumah di Taman Silibin serta sebuah kilang kosong di Sungai Pari yang dijadikan makmal haram oleh sindiket berkenaan untuk memproses dadah.

"Polis berjaya merampas dadah disyaki syabu seberat 16.8 kilogram (kg) serta dadah jenis ganja seberat 50 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.2 juta," katanya.

Turut dirampas dua buah kereta masing-masing jenis Toyota Camry dan BMW, dua utas rantai leher, sebentuk cincin serta wang tunai sebanyak RM18,631 dan mata wang Singapura bernilai S$72 dengan nilai sitaan berjumlah RM220,000, katanya.

Menurut Kang, kesemua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak dua bulan lepas untuk pasaran di sekitar Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

"Hasil ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ganja manakala enam lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dan menambah polis memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan itu.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama antara polis dan masyarakat setempat yang sentiasa menjadi mata dan telinga dalam membantu usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.

Sementara itu, Kang berkata sepanjang tempoh 1 Jan hingga 24 Nov lepas, polis menangkap 183,626 individu atas kesalahan dadah dengan nilai rampasan RM174 juta.

"Antara dadah yang dirampas ialah syabu sebanyak 634kg; 171,250 ketamin (162 kg); pil ekstasi 872,375 dan 1,849,977 pil Erimin 5," katanya. - BERNAMA

JSJN Perak, Kang Chez Chiang

Artikel Berikut

Artikel Lain