suria

Polis Tubuh Unit Khas Siasat Dakwaan Pemerdagangan Bayi

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Polis menubuhkan satu unit khas untuk menyiasat dakwaan stesen televisyen Al-Jazeera berhubung pemerdagangan bayi yang dikatakan berleluasa di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata polis telah berhubung dengan kru produksi stesen televisyen Al-Jazeera yang terbabit dalam penerbitan dokumentari bertajuk 'Malaysia: Babies for Sale-101-East' untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kesahihan laporan tersebut.

Katanya, siasatan lanjut giat dijalankan kementerian dan agensi berkaitan seperti KDN, Kementerian Luar dan JPN.

"Kita juga memerlukan maklumat lanjut sama ada bayi berkenaan benar-benar dijadikan anak angkat, atau untuk tujuan lain seperti jenayah seksual, buruh atau penjualan organ," katanya.

Mengenai dokumentari itu, Rohani berkata ia merupakan satu dakwaan serius dan tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini.

"Dokumentari itu ada alirannya dan seolah-olah menggambarkan begitu mudah untuk menjual bayi di negara ini. Ini adalah tidak benar.

"Ia (penjualan bayi) tidak berleluasa di negara ini. Ia pernah berlaku kira-kira tiga tahun dulu malah siasatan dijalankan dan tangkapan juga dibuat. Pada masa yang sama, bayi yang terlibat juga sudah diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Rohani juga menjelaskan bahawa proses untuk mengambil anak angkat secara sah bukan susah dan rumit sehingga mengambil masa bertahun-tahun seperti yang dilaporkan dalam dokumentari itu.

Beliau berkata proses untuk mengambil anak angkat kini telah dipermudahkan termasuk boleh didaftarkan secara dalam talian.

"Namun begitu, Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu menjalani penapisan dan pengesahan bagi memastikan hanya mereka yang layak dan benar-benar sahaja mendapat anak angkat. Ini mengambil sedikit masa," katanya.

PDRM, pemerdagangan bayi, unit khas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain