suria

KJ Sebak, Mahu Melayu Buang Perasaan Dengki

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (tengah) dijulang oleh para perwakilan selepas tamat Persidangan Pergerakan Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Rabu.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengharapkan orang Melayu bersatu dan menjadi bangsa yang dihormati semua pihak.

Berkias dalam peringatannya, Khairy menulis sajak khas yang menyentuh mengenai nasib dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.

“Jadilah kita bangsa setiakawan, hasad dengki hanyutkan ke lautan. Kembalikan Melayu sebagai bangsa bermanfaat.

“Kuasa digenggam bertunjangkan ilmu dan syafaat. Hidup Melayu, hidup Melayu, hidup Melayu!” katanya dalam nada sebak ketika mendeklamasikan sajak bertajuk ‘Destini Bangsa' di hadapan perwakilan Pemuda Umno sempena perhimpunan agung sayap itu pada Rabu.

Sajak yang disampaikan selama lebih lima minit itu menyatakan isi hati Ahli Parlimen Rembau itu terhadap maruah Melayu yang perlu dipertahankan.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya Khairy menyatakan bahawa Umno akan terus berkhidmat memperjuangkan nasib Melayu dan rakyat secara keseluruhannya untuk tempoh sekurang-kuranya 30 tahun akan datang.

“Kita bukan sekadar berjuang setakat hari ini, bukan berjuang untuk kos sara hidup dan harga minyak naik, tapi kena fikir untuk 30 tahun akan datang.

“Kita juga nak pastikan pada 2050 nanti tak ada kampung di Sabah yang tidak ada bekalan air dan elektrik. Kita nak lihat Melayu maju dan kehadapan,” katanya.

Khairy, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain