suria

Warga Emas Dipukau, Rugi Hampir RM90,000

Gambar tiga suspek warga China yang diburu polis kerana disyaki terlibat dengan kes pukau.
KUALA LUMPUR: Polis memburu tiga wanita warga China yang disyaki memukau seorang wanita warga emas tempatan membabitkan kerugian hampir RM90,000 di Jalan Riang, Sri Petaling di sini, pada 7 November lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Luthfi Ismail Abdullah berkata tiga suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu bergiat aktif melakukan kegiatan penipuan serta pukau di sekitar Sri Petaling.

Menurut Mohd Luthfi, sindiket ini menyasarkan warga emas terutama kaum Cina yang berjalan seorang diri di tempat awam sebagai mangsa memandangkan mereka fasih berbahasa Mandarin.

"Ini kes pertama melibatkan warga asing memukau orang tempatan. Kami percaya mereka (sindiket) ini juga terlibat dengan beberapa kes pukau di luar negara," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian pada 7 November itu, beliau berkata wanita berusia 73 tahun itu dipercayai dipukau oleh tiga wanita warganegara asing ketika dalam perjalanan ke pasar di Sri Petaling kira-kira 8.30 pagi.

"Salah seorang suspek menegur mangsa dan bertanyakan tentang tanaman 'Aloe Vera' kononnya untuk mengubati penyakit anaknya (suspek) sebelum suspek kedua datang menepuk bahu mangsa dan membuatkannya terus khayal serta tidak sedarkan diri.

"Kedua-dua suspek kemudiannya membawa mangsa berjumpa dengan seorang guru (sifu) iaitu suspek ketiga yang kononnya dapat membantu selepas mendakwa mangsa kononnya membawa kecelakaan kepada ahli keluarganya," katanya.

Mohd Luthfi berkata mereka kemudiannya mengarahkan mangsa untuk mengambil wang tunai serta barang kemas yang disimpan di rumah dan bank di Sri Petaling.

"Kesemua wang tunai dan barang kemas tersebut telah dibungkus dalam kertas surat khabar dan dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum diserahkan kepada suspek.Pengadu hanya tersedar dari pukau apabila berada di rumah beberapa jam kemudian dan menyedari beg plastik yang dibawanya mengandungi dua botol air serta beberapa ketul sabun," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian Hotline Polis Kuala Lumpur  03-21159999 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan menipu.
kes pukau, kes tipu

Artikel Lain