suria

Jangan Agungkan Bekas Pemimpin Umno - Zahid

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak (duduk tengah) ketika bergambar bersama Exco Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis. Turut kelihatan (duduk dari kiri) Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Perwakilan dan ahli Umno diingatkan supaya tidak mengagung-agungkan tokoh yang bukan lagi bersama dalam perjuangan parti itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu berkata, tindakan menyebut nama bekas pemimpin itu juga boleh membawa kesan sampingan.

"Jika nama seseorang itu diulang-ulang walaupun dalam bentuk negatif, akhirnya nama yang sudah tenggelam itu akan muncul semula.

"Lagi diasak lagi akan muncul maka adalah lebih baik untuk kita lupakan," pesan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid mengulas mengenai kemungkinan perwakilan akan terbawa-bawa mengangkat nama-nama bekas pemimpin Umno terutama Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berbahas sepanjang perhimpunan tahunan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Selain itu, beliau berkata, tidak salah untuk bernostalgia tetapi memandang ke hadapan adalah lebih penting bagi memastikan Umno terus relevan untuk rakyat.

"Bernostalgia itu sesekali untuk diingati tetapi pandang ke hadapan adalah lebih penting.

"Untuk masa depan, mereka mengharapkan sesuatu yang baharu untuk didakapi supaya Umno relevan dengan citarasa, daya pemikiran dan pola serta tingkah laku, gelagat sosial yang disesuaikan dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, perhimpunan pada tahun ini menyaksikan semangat perwakilan untuk terus pandang ke depan.

Pada masa sama, beliau berkata, pemimpin turut bersedia menjawab segala kritikan yang akan dilontarkan perwakilan.

"Mood ini memberikan kita peluang ke hadapan. Kalau kita dapat menyampaikan mesej secara jelas bahawa parti masih berada di atas landasan yang benar, dan majoriti perwakilan akan bersama-sama kita memberi mandat kepada pucuk pimpinan maka kami akan beri sokongan padu kepada kepimpinan Najib," ujar Hishammuddin.

Zahid, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain