suria

Pengaruh Cawangan Punca Bekas Pemimpin Umno 'Hebat' - Perwakilan WP

KUALA LUMPUR: Kehebatan bekas pemimpin Umno sebenarnya dipengaruhi kepimpinan parti di peringkat cawangan, kata perwakilan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mohd Rafi yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Labuan berkata, struktur Umno diibaratkan seperti sepohon pokok di mana daun melambangkan peringkat pusat, ranting - negeri, dahan - bahagian, manakala akar pokok yang mencengkam bumi adalah peringkat cawangan.

"Umno mempunyai lebih 20,000 cawangan. Umno ada lebih 20,000 ketua cawangan, lebih 20,000 ketua wanita cawangan dan ketua pemuda cawangan selain hampir 15,000 ketua puteri cawangan. Umno mempunyai lebih 80,000 pemimpin yang menjaga akar umbi dan kekuatan parti.

"Mereka (bekas pemimpin Umno) yang pernah menjadi ketua dan pemimpin negara ini bukan kerana mereka hebat tetapi kerana kepimpinan lebih 20,000 di peringkat cawangan.

"Inilah yang meletakkan mereka sebagai pemimpin negara dahulu. Mereka bagaimanapun mengkhianati kepimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Sehubungan itu, Mohd Rafi berkata, kepimpinan di peringkat cawangan seharusnya diperkasakan kerana peranan besar mereka antara lain sebagai benteng dan pendokong parti.

"Mohon kepimpinan parti, kalau boleh perkasakan kepimpinan di peringkat cawangan.

"Kita mahu pokok yang bernama Umno ini terus subur dan rimbun untuk menjadi payung buat rakyat Malaysia," katanya.

Umno, Labuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain