suria

Pengawal Peribadi Baharu Sehari Bekerja

Suspek (kiri) direman bersama dengan Lim.

GEORGE TOWN: Pengawal peribadi yang menembak majikannya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, malam Khamis dipercayai baru sehari bekerja dengan mangsa.

Seorang rakan kepada mendiang Datuk Ong Teik Kwong, Jason Mah berkata suspek berusia 37 tahun itu hanya ditemuduga untuk pekerjaan tersebut sehari sebelum kejadian.

"Pengawal peribadi itu bersama dengan sebuah agensi keselamatan. Dia ada seorang adik yang turut bekerja sebagai pengawal peribadi kepada Teik Kwong.

"Adik suspek telah bekerja dengan Teik Kwong untuk tempoh lebih setahun. Dia memperkenalkan abangnya itu kepada Teik Kwong," kata Mah.

Mah turut berkata, beliau sempat berborak dengan Teik Kwong yang berusia 32 tahun dan rakan bisnesnya, Lim Boon Leng yang berada di dalam kereta sama pada Khamis.

Boon Leng yang juga pemandu Teik Kwong turut direman bagi membantu siasatan.

"Rakan bisnesnya berkata Teik Kwong memandu kereta tersebut, manakala Boon Leng duduk di tempat duduk hadapan. Pengawal peribadi itu duduk di bahagian belakang.

"Pengawal peribadi itu menembak Teik Kwong dari belakang, memukulnya di kepala sebelum bertindak mengasari Lim.

"Pengawal peribadi itu kemudiannya memukul kepala Lim menggunakan pistol," katanya.

Mah berkata Boon Leng berlari keluar dari kereta dan pengawal peribadi itu mengejarnya.

Isteri Teik Kwong, Datin Vivian Cheow masih lagi terkejut dengan insiden itu.

Mereka telah berkahwin selama tiga tahun.

Seorang lagi rakan Teik Kwong, Roger Philip Emaung berkata Teik Kwong, Boon Leng dan pengawal peribadi tersebut ada bertemu dengan seorang lagi ahli perniagaan di Persiaran Karpal Singh sebelum kejadian.

"Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah Teik Kwong semasa insiden itu berlaku," katanya.

kes tembak, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain