KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno bebas untuk menyuarakan pendapat mereka tetapi akhirnya mekanisme Barisan Nasional (BN) yang akan membuat keputusan, kata Menteri Pengangkutan. Datuk Seri Liow Tiong Lai. Tiong Lai yang juga Presiden MCA berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah semasa Perhimpunan Agung Umno pada Jumaat yang mencadangkan portfolio Kementerian Pengangkutan dikembalikan kepada Umno. Beliau berkata, fokus seharusnya diberikan terhadap perpaduan dalam kalangan parti komponen BN untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. "Saya ingin mengingatkan semua parti BN untuk menghormati antara satu sama lain dan kekal bersatu," katanya selepas menyampaikan sijil kepada graduan di Institut VTAR di sini Sabtu.