suria

Sebahagian BR1M Tahun Depan Diberi Secara Terus Oleh Pemimpin Umno Kawasan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disifatkan sebagai 'dedak' oleh sesetengah pihak, merupakan inisiatif kerajaan membantu rakyat hasil cadangan Bank Negara Malaysia.

Beliau turut memberitahu bahawa pembayaran BR1M tahun depan antaranya akan turut melibatkan pemberian secara terus oleh pemimpin Umno di kawasan masing-masing.

"Saya nak beritahu, BR1M bukan cadangan saya, tetapi prosedurnya, keputusan (dibuat) atas nama Perdana Menteri. 

"...ia seolah-olah saya nak beli undi...bukan. Saya nak tolong rakyat susah," katanya.

Perdana Menteri turut menawarkan bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM300,000 kepada bahagian Umno yang mahu menubuhkan koperasi peruncitan dan pemborong. 

Najib yang juga Presiden Umno berkata, bantuan itu bagi mewujudkan lebih banyak saluran menjual barangan keperluan pada harga lebih murah kepada rakyat.

Beliau berkata, peruntukan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan itu melibatkan pemberian geran sebanyak RM150,000 dan pinjaman berjumlah RM150,000.

"Boleh buka koperasi baru atau guna koperasi sedia ada di kawasan masing-masing, ini tawaran kita...jual barangan untuk rakyat dengan harga berpatutan," katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan usul pada akhir Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Menurutnya, langkah itu merupakan satu daripada usaha kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) menangani isu kos sara hidup rakyat, yang banyak dibangkitkan anggota perwakilan pada perhimpunan kali ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disifatkan sebagai 'dedak' oleh sesetengah pihak, merupakan inisiatif kerajaan membantu rakyat hasil cadangan Bank Negara Malaysia.

"Saya nak beritahu, BR1M bukan cadangan saya, tetapi prosedurnya, keputusan (dibuat) atas nama Perdana Menteri.

"...ia seolah-olah saya nak beli undi...bukan. Saya nak tolong rakyat susah," katanya sambil mengumumkan pembayaran BR1M tahun depan antaranya akan turut melibatkan pemberian secara terus oleh pemimpin Umno di kawasan masing-masing.

Dari segi masalah pemilikan rumah, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pelbagai inisiatif diambil oleh kerajaan, yang tidak dilaksanakan di mana-mana negara lain.

Antaranya adalah Projek Perumahan Rakyat, Rumah Transit Belia dan terbaharu MyBeautiful New Home (MyBN).

Najib menjelaskan menerusi skim Rumah Transit Belia yang inovatif, penyewa akan membayar sewa sebanyak RM800 dengan RM300 daripadanya adalah 'simpanan paksa', yang akan diserahkan kembali selepas tempoh lima tahun bagi membolehkan golongan berkenaan membeli rumah di pasaran.

"MyBN pula kita subsidi RM20,000, kos rumah RM40,000...(selama) 20 tahun bayar balik dan akan mula di Perak. Kita akan buat tahun depan. Inilah keprihatinan kerajaan Umno dan BN," kata beliau. - Bernama

BR1M

Artikel Berikut

Artikel Lain