KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih berteka-teki mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 walaupun semboyan pilihan raya dijangka ditiup pada bila-bila masa selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, Sabtu. Najib, yang juga Presiden Umno masih ‘mengunci mulut’ dan tidak memberi sebarang petunjuk apabila ditanya tentang kemungkinan PRU-14 akan diadakan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, Presiden Umno itu nampak optimis bahawa parti itu sudah bersedia dan sedang mara untuk menempa kejayaan. “Kita sekarang bersedia untuk mara ke hadapan, tugas kita sekarang adalah untuk memenangi hati rakyat supaya bersama-sama dengan kita,ini tugas yang saya nak ahli Umno dan jentera kita lakukan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan PAU 2016 di sini, Sabtu. Hadir sama pada sidang media itu adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggalas tugas timbalan presiden dan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Najib berkata, banyak faktor yang perlu dinilai dan diambil kira sebelum PRU diadakan. “Kita akan buat penilaian berdasarkan keadaan dan sikap rakyat, keberkesanan usaha kerajaan, penyampaian mesej kita, sebab itulah kena beri tempoh kepada jentera untuk melakukan kerja-kerja yang sepatutnya,” katanya. Dalam sidang media itu, Najib juga ditanya tentang perhimpunan bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia terhadap penindasan etnik Rohingya di Myanmar pada Ahad, di mana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga akan turut serta. Najib menjelaskan ia bukan satu himpunan politik, sebaliknya lebih menjurus kepada usaha memperjuangkan nilai-nilai dan hak kemanusiaan. “Kita sudah putuskan ada beberapa isu yang mempunyai pendirian sama dengan PAS terutamanya melibatkan kepentingan ummah dan Islam yang PAS dan Umno boleh berkerjasama dan perhimpunan ini satu contoh yang baik. “Ia tak bermaksud kita bergabung, tapi isu-isu semasa, ada yang Umno dan PAS boleh kerjasama. “Masih terlalu awal untuk berkata apa-apa (kerjasama politik), tapi saya percaya politik itu dinamik tapi ini bukan isu politik sebaliknya isu manusia sejagat, Islam dan maruah kehidupan,” katanya.