suria

'Ustaz Lawak' Gamatkan Dewan Merdeka

Perwakilan Umno ketawa mendengar ucapan wakil Negeri Sembilan Syamsul Amri Ismail yang berjaya menggamatkan suasana Dewan Merdeka ketika menyokong usul Agama dan Pendidikan sempena hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Hampir 45 minit, Dewan Merdeka gamat dengan tepukan dan ketawa ketika pembahas Negeri Sembilan di pentas dengan gaya penyampaian ucapan bersahaja dan jenakanya yang kritis pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016.

Syamsul Amri Ismail dari Umno Bahagian Seremban menyampaikan perbahasan yang membuatkan perwakilan dalam dewan tidak kering gusi mendengar ucapan yang dipenuhi humor dengan kritikan secara sinis itu.

Digelar ‘pakar debat’ atau ‘ustaz debat’, Syamsul Amri cuba ‘membuka mata’ perwakilan pada lima minit terawal perbahasannya pada pagi Sabtu dengan meminta mereka bertepuk tangan untuk dirinya yang berada di pentas.

“Tepuk pun tak mau, tepuklah, minta tepuk. Macam mana tak hilang suara, puas dah meneran, tepuknya tidak.

“Kalau nak baca WhatsApp pergi keluar, dengar den nak cakap ni,” katanya sambil disusuli tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Beliau yang banyak bercakap tentang kemanusiaan, pembelaan nasib rakyat dan kebajikan berlandaskan Islam, mencungkil beberapa isu semasa dengan mengaitkannya dengan kehidupan masyarakat Islam di Malaysia pada masa kini.

Syamsul Amri juga meminta semua ahli Umno supaya terus berbuat baik kepada rakyat tanpa mempedulikan kritikan-pihak luar.

“Kita bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), krim, ais krim, kita ada Kedai Rakyat 1Malaysia,  kita beri macam-macam, pedulikan, kita niat benda baik kerana Allah,” katanya.

Pakar debat ini juga sempat menunjukkan bakatnya menyanyi dengan menyampaikan serangkap lagu Warisan dan mencadangkan lagu berkenaan dinyanyikan di sekolah-sekolah bagi menaikkan semangat bersatu-padu. 

“Cukup, saya tak boleh nyanyi, kalau nyanyi buat album, saudara mara pun tak nak beli,” katanya selepas menyampaikan lagu tersebut.

Beliau juga menyentuh tentang pendidikan dan Islam sebagai agama rasmi negara, tetapi secara sinis  mengkritik program berbentuk hiburan yang banyak disiarkan pada masa ini.

“Kita risau sekarang, kata negara Islam, pertandingan melalak bukan main banyak, menyanyi dari baru menetas sampailah ‘otai masih berdosa", apo koja ni?,” katanya.

Mengenai kebajikan kepada rakyat, beliau telah memberikan contoh hospital dan tadika yang disediakan  kerajaan.

“Tadika Kemas tu semurah-murah tadika dalam dunia, yuran sebulan RM20, itu pun ada yang tak bayar, senang saja nak tengok orang tak bayar yuran tadika ni. Dia tunggu anak dia dari jauh, itu tak bayar yuran lah tu.

“Di Malaysia ni juga ada ‘misi’ (jururawat) kejar pesakit, bukan sebab apa, sebab ubat dia (pesakit) tertinggal,” katanya sambil diberi tepukan gemuruh.

Apabila meminta ahli dan pemimpin Umno terus bersedekah, beliau berkata: “Sedekahlah, lalu tabung jangan senyum saja, senyum tu sedekah… tabung tu nak duit, tak nak senyum.”

Beliau turut secara sinis menyentuh tentang rasuah dan integriti.

“Kepada SPRM, teruskan tangkap pemberi rasuah , jangan tangkap penerima rasuah sebab tak ada orang beri, takkan dia terima.

“Biar kita teguhkan iman kita. ‘Nah RM50, jangan, ini rasuah, RM100, jangan cabar saya, RM500, awak dah melampau, RM700 awak ini mula uji kesabaran saya, RM1,000, jangan cakap kuat-kuat,” katanya.

Syamsul Amri juga mengingatkan perwakilan supaya menjadi inklusif, bukan lagi eksklusif.

“Kita dah dua kali dikatakan akan ‘ji’un', tau tak jiun? Innalillahhiwainnailaihirajiun.

“Kita dikatakan akan ‘habis’ tapi masih ada, sebab dengan izin Allah, kita buat benda baik,” katanya.

Mengenai pindaan RUU 355, beliau berkata, semua umat Islam perlu menyokongnya.

“Kita kena sokong RUU355. Yang pi cerita kepada orang tak berkenaan buat apa? Cerita sesama kitalah, itu undang-undang kita, nak takut apa Islam agama rasmi Persekutuan.

“Macam kita nak ambil wuduk, kenapa tanya kat sami? Betul tak? Sami pun jawab, ‘biasa saya tengok bukan itu macam', saya bagi analogi sahaja,” katanya.
Negeri Sembilan, Umno, PAU

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain