SHAH ALAM: Program Ice-Watch Light Up The Night Run 2016 (IWLUTNR 2016) yang diadakan buat kali kedua di sini, mendapat sambutan yang memberangsangkan dan melebihi jangkauan penyertaan. Pengerusi Ice-Watch Malaysia, Datuk Meer Sadik Habib berkata, penyertaan pada tahun ini adalah dua kali lebih ganda daripada tahun lepas. "Tahun lalu kami mendapat penyertaan seramai 3,500 orang dan tahun ini pula, seramai 6,000 peserta berdaftar. "Saya percaya jumlah peserta lebih dari itu kerana kehadiran ramai orang luar yang turut memeriahkan program ini. "Saya tidak kisah dengan penglibatan orang luar kerana matlamat utama kami antaranya menggalakkan orang ramai menjalankan gaya hidup yang lebih sihat selain mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga dan dalam kalangan masyarakat di Malaysia," katanya. Tambahnya, program ini seiring dengan produk terbaharu jam tangan Ice-Watch yang tampil dengan ciri warna yang terang dan kelihatan lebih bertenaga, sekali gus sesuai untuk digunakan dalam aktiviti sukan lasak seperti acara larian tersebut. Penyertaan larian yang terbuka kepada dua kategori iaitu 10 kilometer dan lima kilometer, bermula dan berakhir di Plaza Shah Alam pada Sabtu malam. Bagi peserta yang menyertai kategori 10 kilometer, seramai lima peserta lelaki dan wanita memenangi pelbagai hadiah yang ditawarkan termasuk jam tangan edisi terhad Ice-Watch Golf bernilai RM2,500. Menurut pengarah projek The Marathon Company, Hafiz Md Khas, mereka gembira kerana diberi peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan Ice-Watch, dan mewujudkan pengalaman larian yang bermakna bagi semua yang terlibat.