suria

Jenazah Pendaki Malaysia Selamat Tiba

Syed Redzuan Syed Salim Shatri (kiri) meninggal dunia ketika mendaki gunung di Iran. -Ihsan FreeMalaysiaToday

KUALA LUMPUR: Jenazah Syed Redzuan Syed Salim Shatri, pendaki Malaysia yang maut di Gunung Damavand, Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Isnin.

Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata jenazah Syed Redzuan, 50, tiba di KLIA pada 10.30 pagi tadi, setelah diterbangkan dari Tehran awal pagi hari yang sama.

Beliau berkata jenazah Allahyarham Syed Redzuan akan terus dibawa ke Masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras dan dijangka disolatkan pada 3 petang ini.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam BTHO di Cheras, sebaik disolatkan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Rozaimi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki iaitu Ramli Abd Majid, 44, yang masih hilang di pergunungan itu dihentikan sementara, ekoran cuaca buruk.

"Tetapi buat masa ini, cuaca buruk menghalang mereka (kumpulan SAR) dari meneruskan misi pencarian. Namun, mereka akan terus memantau keadaan cuaca dan misi akan disambung semula jika keadaan cuaca bertambah baik," katanya.

Syed Redzuan dan Ramli dilaporkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 November lepas setelah mereka terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain. - BERNAMA

Pendaki Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain