suria

Mangsa Tembak Disemadikan Di Pulau Pinang

D. Ravindran memeluk gambar rakannya mendiang Choi Hon Meng semasa memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan Cina Batu Gantung pada Isnin. fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Keluarga serta kenalan rapat bekas badut dan penghibur profesional, Choi Hon Ming, 32, yang maut akibat terkena peluru sesat ketika kejadian tembakan di Lebuhraya Lim Chong Eu pada Khamis lepas, memberi penghormatan terakhir kepada jenazahnya di pusat pengurusan jenazah Batu Gantong di sini, Isnin.

Isterinya, Sun Siew Chin, 32, dalam euloginya menyifatkan Choi sebagai seorang lelaki yang amat istimewa dan menyuarakan kesedihannya kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya dengan cara sebegitu.

"Ketahuilah bahawa saya terlalu cintakan awak dan berdoa semoga awak bersemadi dengan aman. Awak seorang yang baik dan saya amat berterima kasih kerana hadir dalam hidup saya," katanya.

Terdahulu, sebelum jenazah mendiang Choi dibakar, rakan-rakan penghiburnya yang berpakaian badut melepaskan 32 belon ke udara sambil melambai sebagai tanda mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Loey Lew, yang memiliki Parteeboo di mana Choi membina kerjayanya sebagai badut, berkata adalah amat sukar bagi dirinya untuk menerima hakikat tentang kematian rakannya itu.

"Barang-barangnya masih lagi ada di pejabat kami dan adalah amat sukar bagi kami untuk menerima hakikat bahawa beliau sudah tiada. Semoga anda bersemadi dengan aman wahai sahabat. Kami akan sentiasa merinduimu," katanya.

Hampir 100 kenalan hadir pada acara itu dengan jenazah Choi dibakar pada 11.40 pagi.

Sementara itu, Datuk Ong Teik Kwang, 32, yang didakwa ditembak oleh pengawal peribadinya yang juga pesakit mental, turut disemadikan pada Isnin di Relau.

Kira-kira 1,000 tetamu hadir pada upacara itu di rumah urus jenazah Khoo Kongsi.

Beberapa lori muatan bunga dan alas lantai bercorak harimau turut ditempatkan di situ.

Khamis lepas, tiga lelaki maut ditembak manakala lima yang lain termasuk jurugambar RTM, Muhammad Amirul Amin Amir, 27, cedera akibat tembakan itu.

Kesemua mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil. - BERNAMA

badut, kes tembak, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain