suria

Pengawal Peribadi Berang Dipersoal Keluarkan Senjata Api

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Pengawal peribadi berusia 37 tahun yang menembak mati ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua yang lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dikatakan berang dengan majikannya yang mempersoalkan dia mengeluarkan senjata api di sebuah restoran, kira-kira dua jam sebelum insiden berlaku.

Datuk Ong Teik Kwong dan rakan niaganya selama sembilan tahun, Lim Boon Leng, kedua-duanya berusia 32 tahun sedang minum bersama seorang rakan di sebuah restoran pada Khamis lalu.

Pengawal peribadi yang memulakan tugas hari pertama untuk Teik Kwong pada hari kejadian, secara tiba-tiba mengeluarkan pistol semi-automatik Glock 19 dan meletakkannya di atas meja.

Sumber memberitahu Teik Kwong dan Boon Leng yang terkejut dengan tindakan pengawal itu, dengan segera menyembunyikan senjata api berkenaan.

Sewaktu ketiga-tiga mereka sedang berjalan ke kereta pada kira-kira pukul 6.30 petang, Teik Kwong yang tidak fasih berbahasa Melayu meminta rakannya untuk menanyakan pengawalnya kenapa pistol tersebut dibawa keluar.

Sumber menambah, pengawal peribadinya menjawab: "Itu tugas saya."

"Ong (Teik Kwong) kemudiannya memandu bersama Lim (Boon Leng) yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, manakala pengawal peribadinya duduk di belakang.

"Sebaik sahaja melalui lebuh raya, pengawal peribadi kedengaran membisikkan sesuatu seperti berdoa, sebelum melepaskan beberapa tembakan ke arah Ong," tambah sumber.

Menurut sumber, pengawal peribadi itu kemudiannya menghentakkan kepala Boon Leng menggunakan pistol beberapa kali selepas kereta BMW hitam yang dinaiki mereka melanggar beberapa kenderaan lain.

"Lim berjaya keluar dari kereta dan melarikan diri tetapi dikejar dan ditembak pengawal peribadi," katanya.

Beberapa tembakan yang dilepaskan mengenai pengguna lebuh raya, mengakibatkan dua lagi maut dan empat cedera.

Sumber memberitahu Boon Leng mendapat bantuan daripada seorang pemandu wanita yang kemudian menurunkannya di stesen minyak sebelum menghubungi rakan untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Boon Leng menerima dua jahitan akibat kecederaan di bahagian kepala.

Dia kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Boon Leng dan pengawal peribadi direman sehingga 8 Disember.

Pemandu wanita, 42, turut membuat laporan polis selepas mendengar Boon Leng yang meminjam telefonnya bagi menghubungi dua rakannya dan memberitahu mengenai apa yang berlaku.

Wanita itu pada awalnya mengingatkan Boon Leng merupakan mangsa kemalangan.

Polis mengenal pasti Teik Kwong yang juga dikenali sebagai "Datuk M" atau Datuk Muda sebagai ketua Geng 24, yang dikatakan terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Artikel Sebelum

Dua Sahabat Maut Dihempap Pokok

Artikel Berikut

Artikel Lain