SEREMBAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah dari DAP, S.Veerapan mencetuskan ketegangan apabila memulakan perbahasan dengan menyebut 'Salam Bersih'. Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr Awaludin Said kemudiannya menegur Veerapan dengan berkata semua Adun sepatutnya merujuk buku panduan Dewan Undangan Negeri dan tidak melakukan sebarang provokasi dan seterusnya menyakiti hati mana-mana pihak. "Yang Berhormat (Veerapan) tidak sepatutnya ulang Salam Bersih dan kita tidak pernah guna Salam Bersih. Kita guna Salam Sejahtera. "Kalau Yang Berhormat mahu meminda bahasa, bukan disini tempatnya. Saya beri teguran supaya tukar dan seterusnya tidak mengganggu sidang," katanya. Sebelum itu Datuk Hasim Rusdi (BN-Labu) bangun menegur tindakan Veerapan yang dianggapnya kurang susuai digunakan di dalam Dewan. "Ambil tindakan Adun yang menggunakan kenyataan yang menyakitkan hati. Saya dengar banyak. Adun Temiang (Ng Chin Tsai dari DAP) juga ada sebut tentang Umno tadi. Kalau nak cerita tentang parti, saya juga boleh cerita. Harap Datuk Yang Dipertua ambil perhatian dan tindakan terhadap ahli dewan yang tidak ikut arahan," katanya. Teguran Hasim disambut tepukan meja daripada Adun Barisan Nasional lain sebelum Veerapan meneruskan perbahasannya. Namun Awaludin mengarahkan supaya Veerapan terlebih dahulu menarik balik salam itu sebelum boleh dibenarkan membahaskan ucapannya. "Saya tidak akan membenarkan Yang Berhormat (Veerapan) meneruskan perbahasan selagi tidak menarik balik Salam Bersih itu," katanya. Veerapan kemudiannya menyebut Salam Sejahtera sebelum meneruskan perbahasannya.-- Bernama