suria

KPDNKK Kaji Semula Akta Koperasi - Hamzah

Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengkaji semula Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) (Akta 502) bagi memastikan gerakan koperasi di negara ini lebih berperanan dalam membangunkan ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah tersebut bertujuan untuk menentukan masa depan koperasi yang bertambah maju serta meningkatkan profesionalisme dan memperbaiki imej koperasi.

Selain itu, katanya, kajian itu dilakukan bagi memastikan koperasi yang ditubuhkan pada masa akan datang ditubuhkan mengikut keperluan komuniti setempat dan bukannya untuk kepentingan individu.

Katanya, kelulusan menubuhkan koperasi perlu berdasarkan pelan induk perancangan dan bukan sekadar hendak mendapatkan geran daripada kerajaan.

"Kita mahu supaya penubuhan itu ada keperluan untuk komuniti setempat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan Kedua di sini, Selasa.

Menurutnya, kajian semula itu juga akan melihat kepada penambahbaikan tadbir urus korporat koperasi bagi memastikan ia diuruskan dengan baik dan lancar.

Katanya, perkara ini akan dilakukan dengan melantik setiausaha koperasi berlesen yang diperakui oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berbanding sebelum ini yang hanya melantik setiausaha koperasi dalam kalangan ahli. 

Selain itu,  KPDNKK akan mengkaji semula tempoh masa ahli lembaga pengarah koperasi yang menurutnya sekarang ini terdapat ahli lembaga pengarah memegang jawatan selama 20 tahun.

"Kita juga akan mengkaji semula untuk memperketatkan kriteria penubuhan koperasi kredit untuk memastikan ia tidak digunakan oleh ‘along’ (ceti haram) sebagai platform untuk memberikan pinjaman.

Setakat ini, katanya, terdapat 117 koperasi kredit di negara ini dan lesen 22 koperasi berkenaan telah dibatalkan.

Hamzah berkata, kajian juga merangkumi sama ada negara memerlukan jumlah koperasi kredit yang sedia ada atau mereka perlu digabungkan sebagai satu entiti.

Katanya, kesemua cadangan kajian ini akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat tahun hadapan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain