IPOH: Suasana di Mahkamah Sesyen di sini pagi Rabu menjadi kecoh apabila seorang lelaki yang ditahan kerana kes jenayah merayu supaya bapanya membayar wang ikat jamin untuk pembebasannya. M.Herry Dass, yang telah dibenarkan ikat jamin RM3,000 pada 24 Jun lalu selepas minta dibicarakan untuk kes rompakan berkumpulan melutut dan memegang tangan bapanya sambil beberapa kali merayu: "Ayah, ayah...tolonglah, tolonglah, tolonglah." Bagaimanapun, bapanya memutuskan untuk tidak menurut kata-katannya anaknya itu bagi memberi pengajaran kepada pemuda berusia 26 tahun itu. Bapanya tidak menghiraukan rayuan anaknya dan meninggalkan anaknya selepas memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, S.Indra Nehru bahawa dia tidak akan membayar wang ikat jamin. Pemuda yang menganggur itu terus merayu ketika anggota polis menggarinya dan mengheretnya ke lokap di luar bilik perbicaraan. Ketika ditemui media, bapa pemuda terbabit, V.Mariadass berkata, kesalahan jenayah itu bukan yang pertama dilakukan anak sulungnya itu. "Dia enggan bekerja, sebaliknya terlibat dalam pelbagai kegiatan yang menyalahi undang-undang. "Sudah tiga atau empat kali dia ditahan dalam tempoh 10 tahun lalu dan saya terpaksa meminjam wang sehingga RM20,000 untuk membayar denda. "Dia degil dan tidak mahu mendengar nasihat atau belajar daripada kesalahan yang dilakukannya," katanya buruh berusia 55 tahun yang bekerja di pasar borong Kuala Pari itu.