suria

Najib Minta Penghulu, Penggawa Salur Aduan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan gambaran sebenar permasalahan rakyat daripada penghulu dan penggawa bagi membantunya menyelesaikan setiap masalah yang diadukan, gesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri meminta mereka menyalurkan maklumat sahih itu kerana semuanya amat penting dalam membantu kerajaan mengolah sesuatu dasar supaya ia benar-benar dapat menyelesaikan setiap permasalahan.

"Para penghulu dan penggawa yang berada di mukim masing-masing adalah yang paling dekat dengan rakyat dan akar umbi.

"Kalau saya sebut selama ini kita mesti mendengar, mengetahui dan merasai denyut nadi rakyat, maka golongan penghulu dan penggawalah yang boleh merasai denyut nadi rakyat," katanya semasa berucap munutup Seminar Jati Diri dan Memperkasa Institusi Penghulu di sini Khamis.

Katanya, jika penghulu dan penggawa tidak menyalurkan maklumat permasalahan rakyat, kerajaan tidak akan mengetahui keadaan sebenar dan ini memberi impak dalam keberkesanan sesuatu dasar.

Perdana menteri juga mengingatkan penghulu dan penggawa bahawa kelangsungan negara ini bergantung kepada kestabilan politik dan memerlukan pilihan yang tepat terhadap parti politik mana yang akan memerintah negara.

Jelasnya, dalam realiti politik negara hari ini, rakyat hanya ada dua pilihan, iaitu kerajaan yang ditunjangi UMNO dan pembangkang yang ditunjangi DAP.

"Dalam perlembagaan parti itu ada dinyatakan untuk (mereka) mengembalikan perlembagaan negara kita kepada sekular...dan dalam bajet alternatifnya dia sebut mahu beri peluang yang sama rata (kepada rakyat Malaysia).

"Apabila disebut sama rata, tiada lagilah hak keistimewaan Bumiputera, tiada lagilah agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera," katanya.

Najib berkata sebagai perdana menteri, beliau mempunyai perancangan besar untuk negara, terutama dalan membangunkan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya ketika ini nilai ekonomi negara telah mencapai RM1.3 trilion dan kerajaan menyasarkan nilai RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

"Sebab itu kita buat projek yang besar-besar sekarang ini seperti kereta api berkelajuan tinggi, projek di Pengerang, Iskandar, kita buat rangkaian rel Pantai Timur, kita buat Pan Borneo Highway supaya bila ekonomi kita berkembang sampai RM2 trilion, rakyat dapat faedah," katanya.

 Pada majlis tersebut Perdana menteri turut mengumumkan akan menyediakan beberapa tempat untuk penghulu dan penggawa menunaikan ibadah Haji yang akan dibiayai sepenuhnya oleh 1Malaysia Development Bhd.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. - BERNAMA

Najib Tun Razak

Artikel Lain