suria

Kutipan Cukai Diyakini Terus Meningkat - CEO Baharu LHDN

CYBERJAYA: Kutipan cukai negara diyakini terus meningkat berdasarkan pertumbuhan saiz ekonomi yang terus berkembang, kata Datuk Sabin Samitah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berkuat kuasa 12 Disember ini.

Beliau berkata, saiz ekonomi negara pada masa ini melebihi RM1.2 trilion, maka peningkatan saiz ekonomi itu sewajarnya menyaksikan kutipan cukai terus meningkat.

Bagaimanapun katanya, kutipan cukai hanya menurun sekiranya kerajaan mengurangkan kadar cukai atau memberi insentif lebih banyak kepada syarikat dan jika ekonomi terjejas teruk.

"Oleh itu, tiada sebab kutipan cukai akan menurun apabila ekonomi negara terus berkembang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat LHDN di sini, petang Jumaat.

Beliau berkata demikian mengenai kutipan cukai pada masa ini yang melepasi RM100 bilion sejak beberapa tahun lalu.

Sabin, 56, dilantik sebagai CEO baharu LHDN bagi menggantikan Tan Sri Mohd Shukor Mahfar, 61, yang menamatkan perkhidmatannya pada 11 Disember ini.

Sebelum ini, anak kelahiran Ranau, Sabah itu adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN.

Sabin berkata, unjuran sasaran kutipan cukai berdasarkan saiz ekonomi dan beberapa faktor termasuk insentif kerajaan kepada syarikat-syarikat.

Katanya, antara faktor yang boleh menjejaskan kutipan cukai adalah keupayaan pembayar cukai terutama syarikat dan peniaga tunggal untuk membayar cukai mereka.

"Bagaimanapun kita mempunyai program yang sistematik untuk memastikan kutipan cukai dari setiap sektor  dilakukan dengan lebih efisien," katanya yang menerima surat pelantikan sebagai CEO baharu LHDN daripada Menteri Kewangan pada petang Jumaat.

Mengenai peranannya menerajui LHDN, Sabin berkata, beliau akan meneruskan program yang dirancang dalam pelan strategik LHDN, selain melakukan beberapa perubahan dan penambahbaikan berdasarkan keadaan percukaian semasa, situasi ekonomi dunia serta sikap pembayar cukai di negara ini.

"Program pendidikan yang lebih berkesan kepada masyarakat terutama pembayar cukai dan penguatkuasaan yang efektif perlu diteruskan supaya pembayar cukai sama ada individu atau syarikat domestik dan multinasional membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan.

"Bagi syarikat multinasional yang mempunyai perniagaan di Malaysia akan dipastikan membayar cukai di negara ini dan tidak memindahkannya ke negara-negara yang mana rejim percukaiannya lebih rendah," ujar Sabin.

Sabin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkhidmat di LHDN selama lebih 30 tahun dan berpengalaman sebagai pengarah di beberapa cawangan LHDN.

Sementara itu, Mohd Shukor mengetip kad perakam waktu bekerja buat kali terakhir sebagai kakitangan LHDN di Ibu Pejabat LHDN di sini pada kira-kira pukul 5 petang Jumaat.

Ia berikutan tarikh 11 Disember merupakan hari cuti hujung minggu dan hari kelepasan am sempena sambutan keputeraan Sultan Selangor. 

Mohd Shukor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, rakyat Malaysia dan kakitangan LHDN dalam membantu beliau melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sepanjang mentadbir organisasi itu, terutama dalam meningkatkan kutipan cukai langsung negara.

"Saya mendoakan Datuk Sabin Samitah sebagai CEO baharu berjaya memimpin LHDN menjadi lebih cemerlang pada masa depan dalam usaha membantu kerajaan merealisasikan setiap agenda dan polisi negara," katanya yang telah berkhidmat di LHDN selama 37 tahun.
LHDN, Sabin Samitah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain