PETALING JAYA: Seorang lelaki yang diisytihar bankrap, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas pertuduhan menipu seorang doktor melibatkan kerugian hampir RM200,000 berhubung projek tanaman cili. M. Narendran, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh. Tertuduh didakwa telah memperdaya T. K. K. Suba Karunan dalam projek tanaman cili teknologi fertigasi yang tidak wujud sehingga mendorong doktor lelaki itu menyerahkan 26 keping cek syarikatnya, Sky Fresh Venture Sdn Bhd berjumlah RM198,181 kepada tertuduh. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 47, Jalan USJ 1/19, USJ 1, di sini antara 6 Jul 2014 hingga 28 Februari tahun ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda. Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang diwakili peguam S. A. Vishnu Kumar memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah bankrap dan tidak mampu membayar jumlah yang tinggi. Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes.-- Bernama