PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat menjadi perdana menteri, demikian dakwa Naib Ketua Pemuda Umno, Senator Khairul Azwan Harun. Beliau berkata, kesanggupan melakukan apa sahaja itu berikutan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tunduk kepada desakan Dr Mahathir terutama selepas bekas Menteri Besar Kedah itu ditolak akar umbi dalam pemilihan parti yang lalu. Malah kata Khairul Azwan, Dr Mahathir sanggup bersekutu dengan DAP yang sebelum ini menjadi seterunya. "Niat Dr Mahathir adalah untuk menjadikan Mukhriz sebagai perdana menteri. Apabila gagal untuk memperalatkan Umno bagi tujuan ini, Dr Mahathir sanggup berbuat apa sahaja termasuk bersekutu dengan DAP. "Najib yang enggan menjadi 'tebusan' politik Dr Mahathir kini dihentam teruk kerana mendahulukan kepentingan rakyat dan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Khairul Azwan yang baharu sahaja dilantik sebagai senator berkata, kepimpinan dan akar umbi Umno turut bersepakat untuk meletakkan kepentingan parti serta rakyat dengan menolak agenda politik bekas perdana menteri itu. Bagaimanapun beliau yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro berkata, semua pihak hanya perlu tunggu dan lihat apa yang bakal dilakukan Dr Mahathir berikutan kegagalan rancangan mantan perdana menteri itu. "Lihatlah nanti setakat mana pakatan bersama DAP ini yang hanya berasaskan kepentingan politik dapat bertahan," katanya sambil menambah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan supaya Dr Mahathir dapat bersama-sama dalam pakatan pembangkang termasuk DAP.