suria

Najib Ikrar Mahu Tangani Ancaman Lanun

GAMBAR FAIL

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk bertindak tegas menangani ancaman lanun di perairan negara ini.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman blog miliknya, NajibRazak.com, beliau turut menghamburkan pujian kepada pasukan keselamatan negara kerana bertindak pantas walaupun bukan mudah mengawal kawasan perairan yang luas.

"Teruskan pelihara perairan, sempadan dan kedaulatan negara kita.

"Kerajaan ingin tindakan yang wajar, tegas dan berkesan diambil bagi menangani ancaman ini. Jangan beri walau sedikit ruang kepada penjenayah-penjenayah menceroboh dan kucar-kacirkan negara," tegasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, pasukan keselamatan Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengenal pasti individu yang diculik di perairan Sabah semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan merangka langkah selanjutnya berhubung insiden penculikan itu, di mana tiga suspek dipercayai penculik dari selatan Filipina mati dalam kejadian tembak-menembak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Terima laporan kejadian tembak-menembak dan cubaan menculik di dua lokasi di Sabah semalam, Lahad Datu dan Semporna.

"PGA kita bertempur dengan penjenayah dari Selatan Filipina dan menembak mati tiga suspek dipercayai penculik, manakala dua lagi berjaya diberkas dan seorang tebusan berjaya diselamatkan.

"Dua lagi suspek berjaya melepaskan diri bersama seorang tebusan," kata Najib.

Najib berkata beliau turut menerima laporan seorang daripada anggota keselamatan Malaysia cedera ditembak dan kini dirawat di Hospital Semporna, dan berdoa supaya anggota keselamatan itu selamat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun sebelum ini, dilaporkan berkata terdapat dua juragan bot yang diculik masing-masing di Perairan Bekapit di Lahad Datu, dan Pulau Gaya di Semporna.

"Seorang mangsa culik ditemui selamat manakala dua lagi penjenayah hilang bersama seorang mangsa culik," katanya.

Najib Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain