suria

Prihatin Terhadap Nasib Umat Islam Di Negara Lain - PM

Masyarakat Rohingya kini menjadi mangsa kekejaman kerajaan Myanmar.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata umat Islam di Malaysia perlu prihatin serta mengambil berat terhadap nasib yang menimpa umat Islam di beberapa negara.

Beliau berkata sabda Rasulullah SAW dalam riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim yang menekankan tentang perlunya umat Islam dalam mengambil berat tentang hal ehwal umat Islam yang lain merupakan titik tolak kebangkitan rakyat Malaysia dalam menyuarakan bantahan terhadap penindasan yang berlaku.

"Maka, menyahut seruan inilah kita bangkit menyuarakan solidariti dan keprihatinan kita dengan nasib umat Islam yang ditindas seperti di Palestin, Kashmir dan etnik Muslim Rohingya di Myanmar.

"Kita terpanggil untuk membuat teguran dan tekanan kepada mereka yang bertanggungjawab dengan pelbagai pendekatan agar penindasan ini dapat dibendung," kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul pada 12 Disember bersamaan 1438H, yang dimuatkan di laman blog najibrazak.com., malam Sabtu.

Dalam pada itu, Najib juga menyeru umat Islam supaya berusaha dalam mencari jalan terbaik untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada mangsa kekejaman ini.

Perdana Menteri turut mengajak umat Islam agar terus bermunajat dalam membuka pintu-pintu penyelesaian kepada penderitaan umat Islam Rohingya yang berpanjangan.

"Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan keteguhan iman bagi saudara-saudara kita yang diuji dengan keperitan...di mana sahaja mereka berada.

"Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam di negara ini. Semoga sambutan pada tahun ini menambahkan lagi keupayaan dan keprihatinan kita terhadap perjuangan Nabi Muhammad SAW," katanya. - BERNAMA

Najib Tun Razak

Artikel Lain