suria

Bot Karam: Enam Warga Indonesia Terselamat

JOHOR BARU: Enam lelaki warga Indonesia nyaris lemas apabila bot tunda dinaiki mereka hampir tenggelam akibat cuaca buruk dan laut bergelora di perairan Batu Pahat, di sini, tengah hari Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Batu Pahat, Let Kom Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, bot itu dalam perjalanan dari Tembilahan, Indonesia menuju ke Batu Pahat dengan membawa 100 tan kelapa bulat.

"Sejurus menerima laporan, sebuah bot maritim ditugaskan ke lokasi kejadian dan berjaya mengesan bot yang hampir tenggelam di kedudukan kira-kira 14 batu nautika di muara Batu Pahat.

"Bagaimanapun, seorang tekong dan lima awak-awak berusia antara 25 dan 45 tahun yang berada dalam bot, telah diselamatkan lebih awal oleh sebuah bot perdagangan tukar barang Indonesia yang melalui kawasan itu," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Menurut Muhammad Zulkarnain kapal berkenaan menjadi terumbang-ambing apabila dibadai cuaca buruk, menyebabkan air laut mula memasuki bot.

Bot telah ditunda ke Pangkalan Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut, katanya. - BERNAMA

APMM, bot karam

Artikel Berikut

Artikel Lain