suria

Lif Terbakar Susahkan Penduduk Warga Emas

GEOGRE TOWN: Kemusnahan tiga buah lif selepas kebakaran berlaku di perumahan flat 17 tingkat, menyebabkan warga emas dan penduduk terpaksa berkurung dalam rumah, di Rafle Range.

Kebanyakan mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan seperti, produk segar, makanan dan perubatan bagi yang memerlukan.

Berikutan itu, penduduk perlu meminta pertolongan anak-anak mereka untuk membawakan makanan, malah bergantung kepada rakan dan jiran untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Lebih malang buat seorang bekas pekerja kontraktor, C. Arumugam yang menetap di tingkat 14, dia bergantung kepada tongkat untuk berjalan selepas terlibat dalam kemalangan pada April.

Dia kini berulang-alik dari hospital dan juga untuk mendapatkan makanan, menggunakan tangga.

“Saya belum berkahwin lagi, dan telah menetap di sini selama 40 tahun. Dengan keadaan saya ini, ia mengambil masa selama dua jam untuk turun naik tangga di sini,” kata Arumugam, 50.

“Saya perlu berehat pada setiap tiga anak tangga, dan pernah cuba memanjat tanpa makan. Tetapi sedar bahawa saya perlu makan sesuatu untuk tenaga.

“Saya rasa pihak berkuasa lupa akan penduduk di sini, kerana sampai sekarang, tiada satu lif pun dibaiki,” katanya.

Manakala, seorang penduduk di sini, Choo Seow Yong, 58, merupakan seorang pengidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Saya dalam keadaan dimana saya tidak boleh mendaki tangga. Hidup kami agak susah sejak kerosakan ini berlaku dan memerlukan kebergantungan sepenuhnya kepada anak-anak sepanjang masa,” jelasnya.

Choo yang tinggal di tingkat 16, berkata sejak kejadian ini berlaku, anaknya Chew Choi Hoon, 26, jarang melawatnya.

Sebaliknya, anaknya yang merupakan seorang guru tuisyen itu, mengupah katerer untuk menyediakan makanan untuk ibu bapanya, tetapi makanan itu hanya dihantar pada tingkat bawah blok tersebut.

“Pihak katerer akan tinggalkan makanan pada tingkat bawah, dan abang saya yang tinggal bersama mereka akan mengambil dan membawanya ke tingkat 16,” kata Chew.

Seorang pesakit strok, Poh Chee Leong menyewa sebuah rumah di tingkat 15 akan menunggu makanan daripada sebuah badan amal, House of Hope, pada setiap hari.

“Saya tidak dapat berjalan turun naik tangga dan sedang menunggu masa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Saya tidak pasti apa akan berlaku apabila sudah tiba masanya untuk saya pergi ke hospital,” kata Poh, 65.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kebun Bunga, Cheah Kah Penang berkata, kerja baik pulih lif tersebut akan dilakukan sebaik sahaja alat ganti tiba.

Menurutnya, alat ganti dari luar negara itu kini dalam pemeriksaan kastam.

Pada Julai, lif pertama mula rosak, manakala lif kedua terbakar pada 22 November dan yang terakhir berlaku pada 23 November.

Dilaporkan sebanyak RM300,000 diperlukan untuk baik pulih lif berusia 40 tahun ini serta alat ganti yang diimport.

Sementara itu, pekerja dan penduduk perlu menggunakan tangga ke rumah, pada setiap hari.

Artikel Lain