suria

Sultan Muhammad V Berangkat Ke Kuala Lumpur

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V memeriksa perbarisan kawalan kehormat dari Rejimen ke-5 Artileri Diraja Kem Desa Pahlawan pada Istiadat Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negeri Kubang Kerian, Selasa. Sultan Muhammad V akan diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu yang akan berlangsung di Istana Negara, Selasa. -fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Cuaca cerah mengiringi keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke ibu negara bagi menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun, bermula Selasa.

Baginda yang dipilih oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243, Oktober lepas akan secara rasmi diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara.

Terdahulu, istiadat keberangkatan Seri Paduka di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini bermula seawal 7.50 pagi dengan penuh adat istiadat.

Baginda yang mengenakan persalinan rasmi Sultan Kelantan turut memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota daripada Rejimen ke-5 Artileri Diraja Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, diketuai Mejar Mohd Saiful Azly, yang kemudiannya turut menyembah 'Hormat Diraja'.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob antara dif-dif kehormat yang mengiringi Sultan Muhammad V ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini.

Doa selamat dibacakan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, disusuli Kawalan Kehormatan Utama menyembahkan Hormat Diraja buat kali kedua, sebelum  baginda berangkat ke LTSIP.

Ribuan rakyat Kelantan berbilang kaum berbaris sambil mengibarkan bendera Kelantan dan Jalur Gemilang di sepanjang jalan antara Istana Negeri, Kubang Kerian dan LTSIP sejauh 14 kilometer bagi meraikan keberangkatan baginda.

Kenderaan yang membawa baginda ke LTSIP turut melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Pekeliling dan Jalan Tok Guru dengan persembahan kebudayaan turut diadakan di 11 lokasi di sepanjang jalan berkenaan.

Sebaik tiba di LTSIP, Sultan Muhammad V sempat memohon restu daripada bonda baginda, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

Baginda juga sempat bersalaman dengan dif-dif kehormat, pegawai tinggi kerajaan dan rakyat jelata yang menanti untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda di lapangan terbang.

Lagu Raja Berangkat turut dimainkan oleh pasukan Gendang Besar Istana Kelantan sebelum pesawat yang membawa baginda berlepas ke ibu negara pada 9.12 pagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan