suria

Sultan Muhammad V Prihatin Hal Ehwal Negeri, Rakyat - Ahmad Yakob

Datuk Ahmad Yakob
KOTA BHARU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V amat mengambil berat mengenai pentadbiran kerajaan Kelantan, selain prihatin terhadap kebajikan rakyat termasuk golongan bukan Islam.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata baginda sentiasa memberi pandangan dan cadangan dalam pelbagai isu yang dibawa untuk dibincangkan.

"Kebiasaannya saya sebagai Menteri Besar akan mewakili ahli-ahli majlis mesyuarat untuk menghadap baginda, dan di sana kami berbincang secara terbuka (terhadap sesuatu isu).

"Apa-apa kertas yang kita bincang bersama adalah untuk kepentingan rakyat. Inilah antara keistimewaan baginda. Apa-apa perkara (berkaitan kebajikan rakyat) kami akan mendapatkan pandangan serta cadangan daripada baginda sendiri sebelum saya bawa kepada MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk dibincang dan dipertimbang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Ahmad berkata pelantikan adinda baginda, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) juga membuktikan sikap peka Sultan Muhammad V dalam memastikan hal-hal berkaitan kebajikan rakyat sentiasa diuruskan dengan baik.

Katanya baginda sentiasa memastikan golongan asnaf mendapat bantuan atau pembelaan sewajarnya daripada MAIK.

Sebagai payung negeri, Sultan Muhammad V, menurut Ahmad turut menitik berat dan mempunyai hubungan yang amat baik serta dihormati masyarakat bukan Islam di negeri itu.

"Sebagai contoh, masyarakat Siam di Tumpat memohon kepada Menteri Besar untuk turut serta ketika keberangkatan baginda untuk Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, pada hari ini, " katanya.

"Bahkan pelantikan ketua-ketua sami di rumah ibadat mereka (masyarakat Siam) juga mesti meminta kebenaran baginda dan sekali gus menunjukkan bahawa hubungan baik itu sentiasa ada," katanya.

"Sememangnya kami rakyat Kelantan, sangat-sangat bersyukur atas pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong kerana baginda seorang sultan yang mengambil berat tentang tuntutan agama serta soleh dan dapat menjadi contoh kepada rakyat khususnya orang Islam di negara ini," katanya.

Perkara itu turut disokong, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyifatkan baginda amat peka terhadap aspek pembangunan Kelantan bagi memastikan rakyat jelata tidak ketinggalan mengecapi arus pembangunan setanding negeri lain di negara ini.

"Sebagai contoh, baginda menyokong pembinaan lapangan terbang serta pembangunan bandar perikanan di Tok Bali. Baginda sendiri menitahkan saya  menghadap untuk memberi taklimat mengenai hal-hal berkaitan pembangunan di Kelantan," kata Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli.

Beliau berkata sebagai seorang raja yang prihatin, Sultan Muhammad V akan memastikan setiap permasalahan rakyat diselesaikan kerana baginda tidak mahu melihat rakyatnya hidup dalam kesusahan.


Ini membuatkan rakyat sentiasa ingat kepada baginda yang seboleh-bolehnya mahu rakyat hidup dalam keadaan selesa, katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain