KUALA LUMPUR: Sahabat sejati akan dihargai dan persahabatan itu dianggap lebih berharga daripada segala perkara di dunia ini kerana ia terbina atas dasar keikhlasan. Keikhlasan dalam persahabatan inilah antara sifat mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang disanjung rakan baginda, Datuk Justin Soo. Soo, yang diperkenalkan kepada Sultan Muhammad V kira-kira 15 tahun lalu menerusi seorang sahabat terdekat baginda, berkata budi pekerti mulia Seri Paduka telah membina persahabatan yang akrab antara mereka berdua. Mengimbas kembali detik pertama pertemuan Soo dan Sultan Muhammad V sekitar tahun 2001 di sebuah hotel di sini, Soo berkata, pertemuan itu sekadar untuk menikmati jamuan malam bersama. "Baginda ketika itu merupakan Tengku Mahkota Kelantan. Baginda seorang yang merendah diri dan mudah mesra. "Pada masa itu, saya tidak tahu pun yang baginda adalah Putera Mahkota sehinggalah selepas sekian lama berbicara," katanya dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini. Soo, 40, pemilik sebuah syarikat pembinaan, menyanjung tinggi keperibadian putera sulung kepada Sultan Ismail Petra dan menyifatkan baginda seorang raja berjiwa rakyat. "Baginda seorang yamg berwibawa dan jujur, mengotakan apa yang dititah," kata usahawan yang berasal dari Jalan Klang Lama itu. Soo berkata keikhlasan Sultan Muhammad V dalam persahabatan mereka terserlah ketika Soo menerima kehadiran cahaya mata sulungnya beberapa tahun lepas. Pada waktu itu, katanya, beliau berkongsi kegembiraannya itu dengan baginda menerusi khidmat pesanan ringkas mengatakan isterinya telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. "Tanpa disangka sejurus kemudian, Seri Paduka menghubungi saya dan memaklumkan bahawa baginda sedang dalam perjalanan menuju ke hospital untuk melawat isteri dan anak saya," katanya dalam nada terharu. Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V berkenan menyertai 4x4 Twisted Gua Musang- Pos Pulai pada 10 Januari 2013. Soo berkata, secara peribadi beliau juga amat menghormati Seri Paduka yang begitu menjaga waktu solat walau di mana baginda berada. "Pernah suatu ketika, saya dan baginda dalam perjalanan ke Kota Bharu...apabila masuk waktu solat, baginda menitahkan pemandu untuk berhenti di masjid terdekat. Baginda tidak memilih, mana sahaja masjid atau surau terdekat, di situlah baginda akan solat," katanya. Menceritakan mengenai keprihatinan Sultan Muhammad V terhadap rakyat jelata, Soo berkata baginda memiliki sebuah bot yang pernah digunakan untuk meninjau sendiri keadaan rakyat dan kawasan terjejas banjir besar di Kelantan pada 2014. Soo berkata keprihatinan Seri Paduka tidak hanya kepada rakyat beragama Islam, malah baginda juga amat mengambil berat hal ehwal golongan bukan Islam di Kelantan. "Apa yang baginda lakukan bukan untuk mendapatkan publisiti. Itu semua lahir daripada keikhlasan baginda yang mahu melihat sendiri kesusahan rakyat ketika itu, dan baginda ingin tahu bentuk pertolongan yang boleh dihulurkan," katanya. Soo percaya, selaku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan memastikan pembangunan, ekonomi dan sosial negara terus maju selain menjadi ikon kepada penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Sementara itu sepupu baginda, Tengku Rozanna Petri Tengku Mohamed Nasrun berkata, walaupun selalu dilihat berpakaian kemas dan ringkas apabila mendekati rakyat jelata, Sultan Muhammad V merupakan seorang raja yang sukakan aktiviti lasak dan mencabar. Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli pada Pertandingan Akhir Menembak Mahabbah 2016 sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Yang Ke-47 di Lapang Sasar Gunong pada 2 November 2016. Seri Paduka merupakan seorang penembak yang handal dan begitu gemarkan sukan menembak, aktiviti berburu dan ekspedisi lasak kenderaan pacuan empat roda selain minat mendalami ilmu agama dan hal ehwal semasa. Tengku Rozanna yang bersama-sama Sultan Muhammad V melanjutkan pengajian di England sekitar akhir tahun 80-an, berkata baginda juga kerap melakukan aktiviti sukan go-kart bersama kerabat yang menuntut di negara itu. "Kalau ada masa terluang baginda akan bersama gajet kerana baginda kerap melayari Internet untuk mengetahui perkembangan dunia. Baginda memang sangat berpengetahuan tinggi, beri sahaja suatu isu terkini pasti baginda tahu," katanya. Menyentuh keperibadian baginda, Tengku Rozanna Petri berkata Sultan Muhammad V merupakan seorang yang mendahulukan keluarga dan sangat mengambil berat nasib rakyat Kelantan.-- Bernama