PETALING JAYA: Lapan badan amal, termasuk yayasan perubatan, rumah perlindungan dan pusat jagaan harian untuk orang kurang upaya, menerima sumbangan Yayasan The Star berjumlah RM227,600. Pengerusi Kumpulan Media Star dan Yayasan The Star, Datuk Fu Ah Kiow yang menyampaikan cek kepada tujuh buah badan amal di Menara Star pada Rabu berkata, sebagai warga korporat, kumpulan itu percaya kepada amalan memberi balik sumbangan kepada masyarakat. "Saya berharap semua pertubuhan bukan kerajaan yang menerima sumbangan daripada Yayasan The Star ini dapat menggunakannya sebaik mungkin," kata Fu dalam ucapannya. Badan amal yang hadir adalah Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia, Yayasan Cancerlink, Pertubuhun Kebajikan Mental Selangor, Pusat Jagaan Siddharthan, Pusat Sinar Hidup Emmanuel Melaka, Rumah Perlindungan Seremban dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Daerah Seberang Perai Selatan. Wakil dari Pusat Jagaan Permata Rohani tidak dapat menghadiri majlis tersebut untuk menerima replika cek. Pengerusi Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Daerah Seberang Perai Selatan Tan Cheng Liang berkata, beliau berterima kasih atas sumbangan ini yang sudah tentu dapat membantu membiayai operasinya. Turut hadir pemegang amanah Yayasan The Star Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse dan Datuk Tan Chong Seng, Ketua Pengarang The Star, Datuk Leanne Goh dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Star, Calvin Kan.