SIBU: Mayat kanak-kanak berusia tujuh tahun, Rudy Alfadance ditemui tiga hari selepas bot membawa tujuh individu karam di Sungai Rajang dekat Kpg Tamalat Sungai Rajang, Song, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot dari sini. Namun usaha mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Reffinej Clarence, 9, yang masih hilang dan dikhuatiri lemas. Insiden itu berlaku kira-kira pukul 5.50 petang Ahad apabila sebuah bot panjang membawa dua mangsa, seorang remaja dan empat dewasa dalam perjalanan pulang ke rumah panjang mereka. Bot tersebut karam selepas dipukul ombak kuat. Lima lagi mangsa berjaya berenang ke tebing sungai. Dua kanak-kanak itu merupakan cucu kepada juragan bot berkenaan. Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tengah, Supt Abdul Mutalib Rashid berkata, mayat kanak-kanak itu dikesan seorang penumpang bot ekspres dekat Jambatan Durin kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu. Polis Marin dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengangkat mayat tersebut sebelum ia dibawa ke bilik mayat bagi proses bedah siasat.