suria

Dituntut Bayar SR500 di Jabal Rahmah Setelah Rakam Gambar

ASSALAMUALAIKUM. Ketika ini, ramai umat Islam berkunjung ke Tanah Suci Madinah dan Makkah untuk menunaikan ibadat umrah. Bagi mereka yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci, ingin sekali saya menasihatkan agar berhati-hati dan berwaspada apabila ada yang meminta atau mahu menghulurkan bantuan.

Kita sering terdengar kisah jemaah umrah atau haji perlu membayar wang sebagai upah setelah berjaya mengucap Hajar Aswad. Justeru, ketika menghadiri kursus, bakal tetamu Allah SWT dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan bantuan daripada orang tertentu yang mengambil kesempatan atas kealpaan jemaah.

Peristiwa yang ingin saya paparkan kali ini bukan berlaku pada diri saya tetapi ia dialami seorang kenalan yang baru kali pertama diundang sebagai tetamu Allah SWT pada April lalu. Beliau pergi bersama-sama isteri dan beberapa lagi kenalan yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka.

Sekembali ke tanah air, Mohamad, bercerita perihal kejadian di Jabal Rahmah yang tidak dapat dilupakan dan tidak menyangka sama sekali ia berlaku pada dirinya sendiri. 

Ketika di Madinah, tiada sebarang masalah atau kesulitan dilalui. Dia gembira kerana berpeluang beribadat dan berziarah di Tanah Suci Madinah selain bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik sepanjang tempoh itu.

Tiba masa ke Makkah, segala persiapan diatur rapi. Seperti biasa, debaran kian terasa kerana bakal menatap Kaabah untuk kali pertama. Pelbagai perasaan bermain di fikiran namun Mohamad kuatkan semangat dan berkobar-kobar untuk memandang Baitullah.

Perjalanan lancar dan setelah kira-kira tujuh jam melalui lebuh raya Madinah-Makkah, kumpulan jemaah seramai 70 orang itu tiba di depan hotel Jawharat Hussain di kawasan Ajyad Musafi. Saya pernah menginap di situ ketika menunaikan umrah pada Disember 2013.

Kedudukan hotel itu sekitar 200 meter dari perkarangan Masjidil Haram memudahkan jemaah untuk berulang alik ke masjid. Selesai menikmati makan malam, Mohamad dan jemaah sebilik naik ke kamar penginapan untuk membersihkan diri sebelum turun semula ke lobi dan berkumpul bersama-sama jemaah lain sebelum bergerak ke Masjidil Haram bagi menyempurnakan rukun umrah seterusnya iaitu tawaf, saie serta tahalul.

Setelah sempurna ibadat umrah, esoknya berehatlah beliau seharian dan hanya berulang alik ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. 

Sebagaimana lazim, ziarah ke sekitar kota Makkah menjadi sebahagian aturcara kunjungan ke Tanah Suci. Antara lokasi kunjungan ialah Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina dan Jaaranah, yang menjadi tempat miqat untuk jemaah yang mahu menunaikan umrah sekali lagi.

Bergambar kenangan di setiap lokasi yang dikunjungi umpama kemestian apatah lagi jika umrah dan ziarah itu adalah kali pertama. Begitu juga Mohamad.

Apabila tiba di Jabal Rahmah, beliau mengambil kesempatan untuk mendakinya bersama-sama isteri. Namun di pertengahan pendakian, isteri beliau tidak berdaya untuk mengikuti Mohamad kerana keletihan.

Namun, Mohamad meneruskan pendakian hingga ke puncak Jabal Rahmah. Beliau mengeluarkan telefon bimbit dan mahu bergambar tetapi tiba-tiba didatangi seorang pemuda yang menawarkan diri untuk mengambil gambar beliau.

“Mulanya saya menolak tawaran pemuda itu tetapi dia bersungguh-sungguh hendak mengambil gambar saya,” ujar Mohamad.

“Orang apa lelaki itu?” tanya saya.

“Orang Arab rasanya,” balas beliau.

“Saya tak agak orang Arab. Mungkin bangsa lain,” jawab saya pula.

“Entahlah mungkin Arab Badwi,” ujarnya tertawa.

“Jangan layan saja bila dia nak ambil gambar. Suruh saja jemaah lain ambikkan,” ujar saya pula.

“Saya ingat dia tak nak apa-apa. Jadi saya ikut saja bila dia cakap nak ambil gambar saya. Tak sangka lepas dia ambil gambar saya, dia minta duit pula,” cerita Mohamad.

“Berapa dia minta?” tanya saya terkejut.

“Saya terkejut bila dia sebut SR500, mana saya bawa duit banyak tu waktu hendak ziarah. Saya bertekak juga dengan dia bila dia desak beberapa kali sebab dah ambil gambar saya. Saya tak layan dan cakap tak ada duit,” ujar Mohamad bersungguh.

“Dia marah awak tak sebab tak bagi duit?” tanya saya lagi.

“Iyelah. Dia marah sebab dia cakap dah ambil gambar saya tapi kenapa saya tak nak bayar. Saya cakap kenapa minta duit sebab saya ingat percuma dan dia nak tolong. Saya memang tak sangka langsung dia nak minta duit. Kalau saya tahu, memang tak bagi dia ambil gambar,” cerita Mohamad lagi.

“Awak bagi duit tak pada dia? tanya saya.

“Dia ikut saya selagi tak bagi duit. Saya bagi tahu dia, saya cuma ada RM50. Saya lantas mengeluarkan duit itu dan menyerahkannya pada dia sambil berlalu menuruni bukit berkenaan,” ujar Mohamad.

Saya menggelengkan kepala saja kerana tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku di Jabal Rahmah.

“Kali pertama saya dengar kejadian macam ini. Setakat ini, tak ada pula jemaah mengadu orang minta duit selepas ambil gambar di Jabal Rahmah,” kata saya.

“Saya tak tahu. Tak ada pula orang pesan pasal perkara macam ni. Awak pun tak ingatkan saya,” balas beliau.

“Sebab tak ada orang yang pernah kena di situ jadi saya pun tak terfikir yang perkara macam ni boleh berlaku di situ (Jabal Rahmah),” balas saya pula.

Justeru, berhati-hatilah di mana saja kita berada. Kadangkala kita ingat seseorang itu ikhlas untuk membantu tetapi hakikatnya mereka mengharapkan imbuhan daripadanya. 

Ketika membawa arwah bapa menunaikan umrah pada September 2005, saya sendiri pernah melalui pengalaman yang mana seorang lelaki meminta imbuhan daripada bantuan yang hendak dihulurkan untuk arwah bapa saya.

Ketika berjalan pulang dari Masjid Nabawi ke hotel penginapan, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an melambai-lambai ke arah saya yang sedang memimpin arwah bapa saya. Bersama-sama saya ketika itu adalah anak sulung dan ibu saya.

“Kenapa pula orang tu panggil Ana?” ungkap saya kehairanan kepada ibu.

Kami menghampiri lelaki itu dan saya bertanya kenapa memanggil saya. Dia menunjukkan kereta sorong dan menawarkan bapa saya duduk di atasnya.

Saya lantas bertanya arwah bapa saya adakah dia hendak duduk di atas kereta sorong itu dan dengan senyuman bapa saya mengangguk tanda bersetuju. Saya dan ibu tertawa kecil kerana tidak menyangka arwah bapa bersetuju.

Saya maklumkan kepada lelaki itu bapa saya bersetuju untuk duduk di kereta sorong itu dan lelaki itu meminta saya membayar SR10.

Terkejut saya sebab dia minta duit kerana jarak masjid ke hotel penginapan tidak begitu jauh tetapi saya lebih hairan kerana dia mahukan imbuhan kerana menyangka dia berhasrat membantu kerana arwah bapa sudah uzur dan berjalan agak lambat.

“Dahlah pak, tak payah, kita jalan kaki je. Dia ni nak SR10, kalau teksi lainlah…”ujar saya pada arwah bapa.

“Hah dia minta duit?” tanya arwah bapa saya kehairanan.

“Ye dia nak duit. Dahlah tak payah. Kita jalan kaki saja,” balas ibu pantas sebelum saya menjawab pertanyaan arwah bapa.

Hakikatnya, SR10 bukan suatu jumlah yang besar tetapi kami tidak sangka lelaki itu mengharapkan imbuhan daripadanya kerana menganggap ia memberi khidmat secara percuma kepada tetamu Allah.

Pelbagai cara mendapatkan duit tetapi kadangkala ia sangat memeranjatkan jemaah umrah ataupun haji. Justeru, berhati-hatilah apabila berhadapan dengan situasi yang kadangkala sukar diduga. 

InsyaAllah bersambung minggu depan.


Jabal Rahmah, Makkah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain