suria

Keputusan Permohonan Empat Anggota Polis Ketepi Penghakiman Ingkar 23 Januari Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan 23 Januari untuk keputusan permohonan empat anggota polis bagi mengetepikan penghakiman ingkar dalam saman yang difailkan balu kepada N.Dharmendran, M.S. Marry.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam berhubung permohonan itu.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan penghakiman ingkar terhadap  Inspektor S. Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, selepas membenarkan permohonan Mary untuk mendapatkan penghakiman itu.

Penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas tiada wakil peguam yang mewakili empat lelaki berkenaan hadir di mahkamah semasa kes saman itu disebut.Pada prosiding hari ini peguam Datuk Baljit Singh yang mewakili empat defendan memberitahu pemberita bahawa penghakiman ingkar itu difailkan pada 19 September lepas.

Marry, 29, memfailkan saman itu dengan menamakan Ketua Polis Negara, sembilan pegawai PDRM termasuk empat anggota polis itu dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dengan mendakwa defendan-defandan dengan sengaja melakukan serangan dan serang sentuh ke atas Dharmendran semasa dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kematiannya.

Beliau mendakwa kematian suaminya itu disebabkan keingkaran tanggungjawab statutori mengikut Seksyen 3(3) dan 20 Akta Polis 1967 oleh defendan-defendan.

Dharmendran berusia 34 tahun.

Dia ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.

Pada 26 Februari lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan empat anggota polis itu membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, IPKKL di Jalan Hang Tuah antara 18 hingga 21 Mei  2013.

Bagaimanapun, pada 29 Jun lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan empat lelaki itu daripada pertuduhan membunuh Dharmendran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain