suria

BBW 2016 Tawar 'Serigala' RM8 Senaskhah

Lokman Hakim menunjukkan naskhah novella edisi terhad berjudul Serigala sempena pesta jualan buku Big Bad Wolf (BBW) 2016 yang berlangsung di The Mines, Seri Kembangan, Selangor yang akan berakhir 19 Disember ini.
KUALA LUMPUR: Harga RM8 bagi senaskhah novella edisi terhad berjudul Serigala dengan garapan penceritaan menyeronokkan dan di tambah pula dengan ilustrasi kulit novel yang menarik pastinya tidak masuk akal.

Kedengaran pelik, tapi novella yang dicetak sebanyak 3,000 naskhah pada harga mampu milik itu hanya ditawarkan sempena pesta jualan buku terbesar, Big Bad Wolf (BBW) 2016 yang berlangsung di The Mines, Seri Kembangan, Selangor yang akan berakhir 19 Disember ini.

Bagi penulis sains fiksyen atau saifai, Lokman Hakim Abdul Wahid, 32, penulisan novella Serigala sempena BBW 2016 disifatkan sebagai karya paling unik pernah dihasilkan sepanjang tempoh dua tahun berkecimpung dalam dunia penulisan.

Lebih menarik, novella tersebut diinspirasikan berdasarkan pengalaman anak jati Sarawak itu semasa berada di BBW yang berlangsung di pusat membeli-belah Danga City Mall, Johor Bahru pada 2012.

"Saya mula membeli buku di BBW sejak 2012 lagi. Tidak terfikir langsung nak jadi penulis.

"Selepas terbitnya Retina, novel pertama dengan Fixi pada Ogos 2014, Fixi mula mengemukakan tawaran untuk menulis cerpen bertemakan malam , "big bad wolf" untuk satu projek kolaborasi bersama BBW yang dimaterialkan dalam antologi cerpen "Malam".

"Menerusinya saya menulis cerpen berjudul "Revolusi! Revolusi! Revolusi!.

"Dari situ ia memberi saya idea untuk menulis novel mengenai BBW itu sendiri. Saya percaya setiap pengunjung yang membeli buku di pesta buku terbesar ini ada cerita dalam kepala masing-masing.

"Ia seolah saya meminjam serigala, maskot pada BBW ke dunia fantasi saya," katanya dalam wawancara eksklusif bersama mStar Online pada Khamis.



Lokman Hakim yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara berkata "Serigala" amat istimewa kerana ia turut memfiksyenkan rakan-rakan penulis lain ke dalam novel tersebut.

"Semasa menunggu proses penyiapan manuskrip Dua Nyawa yang melibatkan dua penulis, saya terfikir untuk gabungkan pengalaman penulisan novel itu selaku premis novel Serigala.

"Riwayat novella Serigala adalah naskhah istimewa. Bermula dari cerpen, disiapkan dalam bentuk novel dan diterbitkan dalam bentuk novella," katanya.


Menariknya,  Lokman Hakim berkata, novella ringkas dan padat dengan 37,000 patah perkataan itu dihasilkan dalam tempoh sebulan.

"Asalnya ia mencecah 52,000 patah perkataan dan disingkatkan menjadi 37,000  supaya boleh dibentuk dalam produk akhir sekecil ini dengan harga RM8, memang murah.

"Saya tiada sebarang halangan untuk menyiapkan karya ini kerana amat mementingkan disiplin masa. Minda saya sudah dilatih untuk buat banyak kerja dalam satu masa," katanya.

Ditanya mengenai sambutan pembaca terhadap  Serigala, Lokman Hakim berkata, beliau menerima maklum balas positif di kalangan peminatnya dan yakin ia akan habis dijual sebelum hari terakhir BBW pada Isnin ini.

"Saya dapat review bahan bacaan baik dan ada yang bagi lima bintang. Ada juga yang memuji dari segi teknikaliti dan gaya penceritaannya. 

"Mereka anggap cerita ini bagus kerana ia ringkas, nipis walaupun berbelit sedikit tapi beri cabaran kepada pembaca dan ianya menyeronokkan.

"Dari maklum balas itu, novella ini kian surut, mungkin dalam dua tiga hari lagi 3,000 naskah itu akan habis terjual," katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan BBW menjadi platform terbaik kepada penulis tempatan untuk memperkenalkan novel Bahasa Malaysia dengan gaya penulisan  berbeza kepada pembaca yang mahukan bahan bacaan alternatif.

Katanya, BBW juga memberi impak positif kepada penerbit dan juga penulis yang memerlukan kerjasama sebegini dalam memajukan industri buku di dalam negara.

"Usaha ini patut diteruskan dari semasa ke semasa. Sebagai penulis kami memerlukan kerjasama daripada setiap pihak terlibat dalam industri buku.

"Untuk memajukan industri buku ini sendiri adalah sukar tapi usaha ini perlu diteruskan kerana ia akan menaikkan nama penulis dan juga penerbit tempatan," katanya.

Bagi peminat novel urban dan kontemporari hasil pena penulis tempatan, anda masih berpeluang untuk mendapatkan karya edisi terhad ini di  BBW 2016 yang berlangsung selama 24 jam di The Mines, Seri Kembangan, Selangor.

BBW 2016, pesta jualan buku terbesar anjuran kedai buku yang terkenal dengan harga buku termurah di Malaysia, BookXcess dan penerbit tempatan seperti Buku Fizi menawarkan empat juta bahan bacaan pelbagai genre dengan potongan diskaun sehingga 95 peratus.

Artikel Lain