suria

PRU14: Pakatan Harapan Ketengah Calon Berprofil Tinggi Di Johor

Jimmy Puah Wee Tsee.

JOHOR BARU: Pakatan Harapan akan menggunakan taktik gabungan calon berprofil tinggi dengan pemimpin tempatan bagi memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di negeri Johor.

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tsee berkata calon berprofil tinggi tersebut akan bertanding di kerusi Parlimen manakala pemimpin tempatan yang aktif pula akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kami akan panggil beberapa pemimpin pusat untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen dan satu kawasan yang kami kenal pasti adalah Parlimen Pasir Gudang manakala bagi kerusi DUN pula, kami akan tempatkan pemimpin tempatan yang benar-benar boleh melaksanakan tugas mereka.

"Strategi ini penting kerana kami lihat negeri Johor sebagai negeri utama dalam memastikan kemenangan besar kepada Pakatan Harapan dan untuk mencapai kemenangan tersebut, kami perlu berkorban," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 'Back to School' di Pasaraya Sakan Seri Alam, di sini Ahad.

Tambahnya, Pakatan Harapan sentiasa mengalu-alukan mana-mana calon parti komponen pembangkang untuk tampil dan bertanding di negeri Johor.

"Sebelum ini, Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin telah menyatakan kesediaan beliau untuk meninggalkan kerusi Parlimen Ampang yang disandang bagi bertanding di mana-mana negeri termasuk Johor sebagai usaha memenangi PRU akan datang. Jadi, kalau kami dapat mengumpulkan dua atau tiga calon berprofil tinggi di Johor, saya lihat kemenangan untuk kita bukan menjadi satu masalah.

"Terdapat tujuh kawasan Parlimen dalam negeri Johor yang pembangkang kalah dengan marginal dua peratus, jadi, dengan strategi ini, saya yakin kami akan mampu menawan tujuh kawasan tersebut," kata Jimmy Puah.

Menurutnya lagi, Pakatan Harapan sudah menghantar senarai calon yang bakal bertanding pada PRU akan datang dan sedang menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

Tujuh kawasan Parlimen tersebut adalah Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Segamat, Ledang, Pulai dan Muar. - BERNAMA

Pakatan Harapan, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain