KUALA SELANGOR: Kerja-kerja penyelenggaraan stesen pencawang Bukit Badong yang menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang, dijangka siap menjelang tengah malam Isnin. Ketua Jurutera (Operasi dan Penyelenggaraan) Tenaga Nasional Bhd, Ishak Muhammad Zain berkata, tugas tersebut berjalan lancar mengikut jadual. "Kira-kira 60 peratus kerja penyelenggaraan telah siap pukul 3 petang tadi dan dijangka selesai sepenuhnya tengah malam ini," katanya. Tugas penyelenggaraan itu memerlukan keseluruhan operasi stesen pencawang tersebut ditutup bermula 8 pagi Isnin dengan melibatkan 120 staf. "Penangguhan penyelenggaraan boleh menyebabkan gangguan elektrik yang lebih lama," katanya.