suria

Warga Emas Ditemukan Mati Terikat

GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan mulut, tangan dan kakinya terikat dengan tali, dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai awal pagi Isnin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata mayat Rohani Musa, 60, ditemui oleh anak lelakinya yang berusia 35 tahun di rumah itu pada pukul 1.30 pagi.

"Sebelum kejadian, anak mangsa dikatakan keluar rumah untuk menonton perlawanan bola sepak di kedai makan berhampiran, pada pukul 12.30 malam sebelum pulang ke rumah kira-kira satu jam kemudian.

"Sebaik tiba di rumahnya, anak mangsa mendapati pintu belakang rumahnya terbuka sebelum menemui ibunya terbaring di lantai dalam keadaan mulut, tangan dan kaki terikat, di ruang tamu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Ab Rahman berkata anak mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada jirannya sebelum membuat laporan polis.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah jenis motosikal jenis Yamaha RXZ yang diletakkan di ruang tamu, barang kemas dan dompet mangsa turut hilang dalam kejadian itu.

"Jiran mangsa turut memaklumkan ada ternampak kelibat dua individu menaiki sebuah motosikal berhampiran rumah mangsa sebelum kejadian berlaku," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat dan pihaknya masih menunggu laporan.

Anak tunggal mangsa, Roseli Ab Rashid, 34, berkata ibunya sedang membaca Al-Quran ketika dia keluar dari rumah untuk menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan.

Bagaimanapun selepas pulang ke rumah kira-kira satu jam kemudian, dia menemui ibunya terbaring dalam keadaan terikat. - BERNAMA

Samun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain