ALOR SETAR: Seorang daripada anak pasangan guru yang maut dalam nahas di Pendang, Sabtu malam lalu yang sebelum ini dilaporkan kritikal mula menunjukan gerak balas positif. Masyitah Mohd Padzil, 12, yang dirawat di Wad Hospital Sultanah Bahiyah di sini, juga memberikan gerak balas dengan menggenggam tangannya. Ruslina Rashid, 48, yang ditemui di sini menyatakan syukur dengan perkembangan pada diri anak saudaranya itu. "Saya bersyukur kerana Masyitah telah boleh gerak kiri, kanan, atas tapi masih tidak mengenali sesiapa apabila ditanya," kata Ruslina. Dalam perkembangan sama, adik Masyitah, Muhammad Asyraf, 11, telah menjalani pemeriksaan pada matanya hari ini dan dijangka akan menjalani pembedahan kecil di bahagian mata esok bersama-sama kembarnya Muhammad Akmal. Muhammad Akmal juga telah menjalani pembedahan kedua belah kaki serta tangan malam semalam dan keadaannya dilaporkan stabil. Ruslina berkata, bagaimanapun, suasana agak sebak apabila anak saudara bongsunya, Munirah, 6, sering menangis memanggil kakaknya, Maisarah, 14, yang tinggal di wad berasingan untuk tidur bersama. "Saya sebak melihat keadaan Munirah dan saya membawa dia tidur di bilik kakaknya di atas katil berasingan kerana Munirah masih kecil dan amat merindui kakak dan ibu bapanya," katanya. Kata Ruslina, Maisarah memberitahu akan menjaga adik-adiknya setelah pemergian ibu bapa tersayang. "Maisarah anak yang kuat dan cekal dan menerima pemergian orang tua mereka penuh sabar. Dia juga berkata akan menjaga adik-adiknya dan tidak akan berpisah dengan mereka," katanya. Dalam kejadian 11.30 malam itu, kereta MPV yang dipandu Mohd Padzil Rashid, 50, terbabas sebelum bertembung dengan lori treler di Alor Punti, Pendang menyebabkan mangsa dan isterinya, Masmiwaza Mohd Noor, 42, maut. Berikutan itu, kelima-lima anak mereka yang berusia enam hingga 14 tahun kini yatim piatu sekelip mata dan ditempatkan di wad HSB untuk menerima rawatan.