KUALA LUMPUR: Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) akan menghantar misi kemanusiaan ke Aleppo, Syria bagi membantu mangsa kekejaman Rejim Bashar Al-Assad. Ketua Pegawai Eksekutifnya Syahrir Azfar Saleh berkata misi itu akan membawa bantuan makanan, ubat-ubatan, produk nutrisi bayi dan pendidikan kepada mangsa terbabit yang kini mendapatkan perlindungan di Kem Pelarian di Idlit. Katanya, misi yang dikenali sebagai Misi Musim Sejuk 4.0 itu disertai lima sukarelawan dan misi itu dijangkakan dapat dimulakan awal Januari depan, selama sebulan. "Kami telah jalankan kutipan tabung khas untuk dapatkan bantuan yang sehingga kini berjaya kumpul RM200,000. Dana yang diperlukan adalah sekitar RM500,000. "Dalam masa dua tiga minggu ini, saya yakin dapat capai sasaran kutipan daripada rakyat Malaysia bagi membantu rakyat Syria yang kini berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat," katanya pada sidang akhbar Soladariti Aleppo di sini Rabu. Misi itu turut mendapat sokongan daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Nasi Kandar Line Clear Kg Baru, Pertubuhan Ilmu Malaysia, Global Peace Mission Malaysia dan Yayasan Ta'lim. Sementara itu, Setiausaha ABIM Muhammad Faizal Abdul Aziz berkata sebarang bantuan dari seluruh rakyat negara ini amat dialu-alukan bagi menjayakan misi bantuan tersebut. Katanya, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5648-1051-3971 atau melayari laman web www.malaysia4syria.org untuk sebarang maklumat lanjut. Pada majlis sama, Pengarah Nasi Kandar Line Clear Kg Baru menyampaikan replika cek berjumlah RM4,000 kepada MLLFS sebagai bantuan permulaan. Wakil artis, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad turut hadir mewakili artis tanah air bagi menjayakan kutipan dana misi bantuan itu. - BERNAMA