PETALING JAYA: Berbeza dengan Datuk Seri Jamal Yunos yang hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam keadaan bertuala sebagai tanda protes terhadap gangguan bekalan air, Abdul Rani Kulup Abdullah pula menyatakan rasa gembira apabila bekalan air kembali pulih pada Rabu. Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu berkongsi kegembiraan tersebut menerusi rakaman video berdurasi 37 saat yang dimuat naik di laman Facebooknya. Dalam video tersebut, Rani yang memakai kain sarung dan lengkap bercermin mata hitam kelihatan gembira apabila air kembali mengalir di rumahnya yang terletak di Kuala Lumpur. "Alhamdulillah sudah ada air... Kipidap Dongibab... ada air... ada air," kata Rani dalam video tersebut. Menurut Rani, gangguan bekalan air sejak Isnin lalu merupakan ujian daripada Allah dan orang ramai perlu bersabar menghadapi dugaan tersebut. "Jangan marah marah Bro... air tak ada bukan mengamuk... kita kena berdoa," katanya.