suria

Tumbuk Muka Kenalan, Dua Lelaki Didenda

Gambar hiasan daripada Google.

PETALING JAYA: Dua lelaki yang menumbuk muka seorang kenalan mereka masing-masing didenda RM1,200 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang peniaga, Mior Safrin Abdul Fuaad, 29, dan rakannya, Muhammad Dali Rosli, 27, selepas mereka mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad Zulhelmi Zulkifli, 29, dengan menumbuk muka mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 18, Jalan Intan 3/4, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini pada 2 pagi, 10 Disember lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan masyarakat awam kerana kejadian pukul kini semakin berleluasa.

Mior dan Muhammad Dali yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang minimum atas alasan mereka menjaga ibu bapa dan adik beradik yang masih kecil.

Tumbuk, PDRM

Artikel Sebelum

Jangan Layan Ulat Tiket

Artikel Berikut

Artikel Lain