PETALING JAYA: Dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), Azzrulkhan Hasrullah Matsah tahu tahap dan kemampuannya. "Saya mahu menawan semua gunung di dunia," kata lelaki berusia berusia 24 tahun ini yang mencatat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai lelaki kurang upaya pertama menawan puncak Gunung Kinabalu dengan cara merangkak. Kini, beliau bercita-cita untuk melihat keindahan puncak Gunung Everest pula dan merancang untuk sampai ke Base Camp Everest pada Julai tahun depan. "Terdapat begitu banyak gunung untuk didaki. "Sebelum ini saya fikir cukuplah saya menawan Gunung Kinabalu. Sebaliknya, ia telah membawa saya untuk mencari gunung lain untuk didaki," kata Azzrulkhan, yang lebih dikenali sebagai Adam. Sebagai permulaan untuk mencapai impiannya itu, sasaran Adam seterusnya adalah mendaki ke puncak Gunung Trus Madi di Sabah dan Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia, pada Februari, sebagai persediaan untuk pendakian yang lebih sukar. Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata banyak cabaran dan kesakitan yang perlu dilalui untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Bersama dengan empat pendaki lain di bawah projek Ekspedisi OKU Gunung Kinabalu, percubaan pertama Adam dibuat pada Januari, namun tidak kesampaian. "Pada percubaan pertama saya itu, saya hanya diberi dua hari untuk menamatkan pendakian, iaitu tempoh biasa bagi orang-orang yang boleh berjalan," kata Adam. Walaupun begitu, apabila sudah berjaya mendaki hingga ke Sayat-Sayat iaitu pada ketinggian 3,668.10 meter, beliau dinasihatkan untuk tidak meneruskan pendakian kerana faktor keselamatan. "Saya kecewa, saya tahu saya boleh melakukannya. "Tetapi saya juga tahu saya tak boleh pentingkan diri sendiri kerana ia melibatkan sebuah pasukan," kata Adam. Beliau kemudian bangkit untuk percubaan kedua. Pada bulan Oktober, Adam berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter dalam masa tiga hari. "Saya mencuba sedaya-upaya dan berjaya sampai ke puncak dalam masa tiga hari, walaupun saya diberi masa 10 hari. "Akhirnya, tangan dan bahu saya cedera parah. Semua seluar saya koyak walaupun saya pakai tiga lapis. "Tetapi tidak ada perkataan yang dapat saya gambarkan apabila saya berada di sana," kata Adam. Pelajar komunikasi tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini berkata segalanya bermula pada tahun 2014, apabila ramai rakan-rakannya 'terjebak' dengan aktiviti mendaki. "Saya berfikir, mungkin saya juga boleh melakukannya. "Tetapi saya diberitahu bahawa orang kurang upaya seperti saya tidak boleh melakukannya kerana ia terlalu berisiko," kata Adam. Adam berkata beliau kecewa apabila permintaannya untuk menyertai rakan-rakannya yang mahu pergi mendaki tidak dituruti. Sehinggalah seorang rakannya yang juga mempunyai kecacatan kekal akibat kebakaran bersetuju untuk membawanya mendaki Bukit Broga. "Dia pun OKU juga, tapi dia berjaya dan ini memberi inspirasi kepada saya," kata Adam. Semasa pertama kali mendaki Bukit Broga, beliau menjadi perhatian ramai, sambil menambah beliau tidak mengharapkan untuk mendapat begitu banyak sokongan. "Saya hanya menumpukan perhatian untuk sampai ke atas apabila saya tiba-tiba mendengar sorakan dan tepukan yang memberi semangat kepada saya. "Saya gembira dan penuh bersemangat," kata Adam.